Skip to main
Logo Malaysiakini

Sunyi luahan hati Farred Zane untuk anak pelarian perang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Terkesan dengan kesengsaraan kanak-kanak di bumi Palestin dan Syria, penyanyi Farred Zane hadir dengan single solo pertama berjudul Sunyi yang diyakini mampu menyentuh jiwa pendengar.

Kata Farred, kisah sedih anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat perang telah mencetuskan Sunyi - lagu dan lirik yang ditulisnya sendiri pada tahun lalu.

“Saya sering mengikuti perkembangan kisah peperangan di Palestin dan Syria. Saya benar-benar sedih dengan nasib menimpa mereka.

“Saya seorang yang sukakan kanak-kanak, apabila melayan keletah anak-anak saudara, timbul perasaan sayu mengenang nasib yang terjadi pada kanak-kanak di Palestin dan Syria,” katanya kepada Malaysiakini.

Mengulas mengenai Sunyi, pemilik nama asal Mohd Farid Mohd Zin itu berkata, lagu itu mudah melekat di hati pendengar kerana ia mengetengahkan isu kemanusiaan.

“Ia mengisahkan seorang kanak-kanak yang kesunyian sejak kecil hingga dewasa. Dia sunyi disebabkan kehilangan emak dan ayah dan hidup sebatang kara.

“Susunan muzik lagu ini telah dicantikkan lagi oleh mereka yang tidak asing lagi dalam bidang muzik, Alfa, Rumy dan Daqmie,” katanya yang merupakan artis naungan Saudagar Seni.

Biarpun tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) menyekat promosi awal lagu berkenaan, Farred, 30, merasakan ada hikmah di sebaliknya.

Lagu bergenre pop balada itu telah dipilih pengarah ternama, Raja Mukhriz sebagai runut bunyi telefilem arahannya, Kasih Tau Foo Fah - sesuatu yang tidak disangka oleh pemuda dari Kelantan itu.

“Alhamdulillah, patutnya lagu ni diterbitkan pada PKP, tapi ada rezeki rupanya yang menanti single solo pertama saya ni.

“Sewaktu pihak Saudagar Seni memperdengarkannya kepada Raja Mukhriz, pengarah terus bersetuju untuk menjadikan Sunyi sebagai OST telefilem Kasih Tau Foo Fah,” katanya lagi.

Telefilem Tau Foo Fah ditayangkan di saluran TV3 pada 19 September lalu manakala video muzik Sunyi pula boleh ditonton di saluran YouTube Saudagar Seni Media.

Selain dipilih untuk runut bunyi, Farred - yang juga anggota band Damai & Friends - turut diberi peluang berlakon dalam telefilem itu sebagai seorang pemandu.

“Gugup juga bila berlakon kerana ini pengalaman pertama berlakon dengan pelakon-pelakon hebat,” katanya.