Skip to main
Logo Malaysiakini

Patuhi SOP ketat atau sesi penggambaran dihentikan, kata Finas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa atau sesi penggambaran akan dihentikan - itu amaran diberi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) kepada syarikat produksi yang menjalankan kegiatan mereka semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa di tiga negeri sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri, berkata agensi itu mempunyai hak dan kuasa untuk menghalang sesi penggambaran daripada diteruskan jika didapati ia melanggar syarat ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kebimbangan Finas ialah penjagaan dan pematuhan penuh syarikat produksi kepada SOP. Harap-harap tidak timbul kealpaan dalam hal-hal sebegini.

“Jangan disebabkan kegagalan satu produksi mematuhi SOP, produksi lain tak dapat jalankan penggambaran,” katanya kepada Malaysiakini.

Menurut pengarah filem Impak Maksima itu, semua aktiviti penggambaran masih dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKPB.

Namun, katanya, demi mengekang penularan Covid-19, Finas akan menjalankan pemantauan lebih agresif.

“Dalam kelonggaran yang diberi, Finas akan pantau secara lebih dekat. Sekiranya didapati ada produksi melanggar SOP, Finas mempunyai hak untuk hentikan penggambaran serta-merta," katanya.

Antara syarat yang mesti dipatuhi, kata Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-16 itu, ialah protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal serta tatacara keselamatan pekerja.