Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas nasihat syarikat perfileman elak rentas daerah untuk sementara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Syarikat produksi filem dan drama dinasihatkan agar memikirkan cara lain jika perlu melakukan perjalanan rentas daerah semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) ini berlangsung bagi mengelakkan kesulitan.

Sebaliknya kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Ahmad Idham Ahmad Nadzri, mereka perlu cuba melengkapkan penggambaran itu hanya dalam daerah sedia ada.

“Finas nasihatkan jika ada syarikat produksi ingin melakukan penggambaran rentas daerah supaya cari alternatif lain kerana kami takut terdapat penularan Covid-19.

“Bagaimanapun, sekiranya masih perlu dilakukan, produksi diminta memohon kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia melalui permohonan dalam talian bagi tujuan tersebut,” katanya kepada Malaysiakini.

Ahmad Idham, 46, berkata Finas berharap semua syarikat produksi dapat membiasakan diri dengan amalan norma baru sekarang.

Selain itu katanya, elakkan sebarang aktiviti penggambaran di kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon merah.

“Setakat ini belum ada permohonan daripada mana-mana produksi untuk penggambaran rentas daerah manakala lokasi zon merah memang tak dibenarkan sama sekali,” katanya.

Mengulas situasi semasa industri perfileman ketika PKPB di tiga negeri sekarang, pengarah telefilem Rezeki Tanpa Alamat itu berkata, dia tetap lega kerana Finas sedang menggerakkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana).

Menurutnya, dengan adanya Pelaksana, penerbit, pelakon dan kru-kru produksi tidak perlu gusar mengenai peluang kerjaya di saat Covid-19 masih belum menunjukkan keadaan akan reda.

“Kesinambungan daripada apa berlaku ialah kita tahu Finas telah laksanakan pelan Pelaksana untuk industri kreatif tanah dengan pihak stesen swasta seperti Astro, Media Prima Berhad dan TV al-Hijrah dalam mewujudkan kandungan baru.

“Ia antaranya membantu mewujudkan peluang pekerjaan bagi syarikat penerbitan, tempatan, perseorangan dan belakang tabir,” katanya.

Justeru, Ahmad Idham berharap program Pelaksana tidak tergendala selain ia akan dimanfaatkan penerbit dan kru berkenaan.

“Insya-Allah, surat tawaran dijangka dikeluarkan pada minggu ketiga bulan ini.

"Dulu kita risau tak ada penggambaran masa perintah kawalan pergerakan tu sebabnya diwujudkan pelan Pelaksana,” katanya.