Skip to main
Logo Malaysiakini

Ekspresi muzik 2 Adun DAP dalam Priwayat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Undangan Negeri (DUN) pastinya bukan tempat pilihan jika anda ingin mencari muzik Rock. Bagaimanapun di sana, anda akan bertemu dengan Zairil Khir Johari (Adun Tanjong Bunga) dan Syerleena Abdul Rashid (Adun Seri Delima).

Siapa tahu dua Adun daripada DAP ini juga merupakan pemuzik berbakat. Kemahiran Zairil bermain piano pernah dipamerkan sebelum ini manakala Syerleena biasa membuat persembahan ketika di United Kingdom. Ketika itu, dia menganggotai band bersama-sama abangnya, Riz, dan juga pemuzik Brian Gomez yang bernama Sons of the Soil.

Anak kepada bekas menteri Khir Johari, Zairil dipilih sebagai anggota Parlimen Bukit Bendera pada 2013 sebelum menjadi wakil dalam DUN Pulau Pinang pada 2018. Dia juga pernah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang dan kini sebagai exco infrastruktur dan pengangkutan.

Syerleena pula bermula dengan NGO Aliran dan mula dikenali sebagai ahli Majlis Bandaraya Puau Pinang pada 2015 dan kemudian menang dalam PRU 2018.

Kedua-duanya bergabung dengan tiga pemuzik bebas - Zam Vigil (vokal), Shanx (bass) dan Jern Sistynine (dram) - untuk menubuhkan Priwayat. Band ini nampaknya menjadi saluran kreatif di tahun yang banyak mengundang emosi dengan pertukaran kerajaan, perintah kawalan pergerakan dan keadaan ekonomi yang suram.

Walaupun muzik mereka bukan bertujuan propaganda, pastinya tidak aneh jika EP pertama mereka, Suralaya, dipenuhi lirik bersifat politikal. Malah single pertama, Terbanglah berdasarkan sajak Anggota Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.

Video muzik Terbanglah mula disiarkan hari ini. Ia hasil arahan Amir Johari dan menceritakan kisah insan yang mendapati dirinya tersisih di sebuah dunia asing.

Priwayat membuat persembahan sulungnya di Konsert Petra Kasih di Kota Kinabalu baru-baru ini bersempena sambutan Hari Malaysia, yang turut disertai legenda Zainal Abidin.

Dengan EP pertama yang bakal menjengah khalayak, Zairil dan Syerleena bercakap dengan Malaysiakini tentang rancangan masa depan mereka.

S: Apakah yang membuatkan anda menubuhkan Priwayat?

Zairil: Saya sentiasa mengimpikan untuk menganggotai band tetapi tak pernah serius ke arahnya, sehinggalah peluang untuk bekerja dengan Syerleena datang.

Apa yang bermula dengan "tengok macam mana" bertukar kepada usaha serius untuk menceritakan kisah kami menerusi muzik. Dan sebab itu kami memilih nama Priwayat, istilah Melayu yang bermaksud "tukang cerita".

Syerleena: Saya pernah menganggotai beberapa band ketika di universiti dan juga bersama-sama abangnya dalam Paku, sebuah band yang bergiat di Pulau Pinang. Ia pengalaman yang hebat kerana kami dapat tour di UK pada 2007. Band ini berpecah pada 2010 bila Riz pindah ke KL, dan saya kekal di Pulau Pinang dan mula fokus pada politik.

Syerleena

Pada Disember 2019, saya kemalangan dan patah kaki. Saya tak dapat berjalan selama dua bulan dan pada masa itulah saya kembali main gitar. Anda boleh katakan setiap perkara ada sebab musabab, maka apabila PKP kian longgar, saya dan Zairil mula jamming - kita main lagu cover dan mula tulis lagi sendiri.

Bagi saya, Priwayat bukan sekadar band. Ia adalah saluran dan bentuk ekspresi. Saya dan Zairil memang menulis - sama ada artikel atau kenyataan - jadi menulis muzik adalah satu lagi bentuk menyampaikan mesej secara puitis dan melalui muzik.

S: Berapa lama kalian sudah bermain muzik?

Zairil: Saya belajar piano ketika kanak-kanak dan berhenti selama lebih 10 tahun kerana komitmen kerja. Saya kembali bermain ketika PKP, mula jamming dengan Syerleena, dan mendapati ia satu saluran yang hebat untuk luahkan kreativiti.

Syerleena: Ketika kecil, saya mula belajar main organ tapi terus hilang minat. Ia tak menyeronokkan bagi saya, jadi saya berhenti. Saya belajar gitar secara sendiri ketika sekolh menengah dan sering buat persembahan ketika belajar di universiti.

S: Siapa pengaruh terbesar anda?

Zairil: Band kegemaran saya adalah Queen. Sebagai penulis lagi, saya rasa banyak dipengaruhi band British seperti Coldplay dan Keane. Bagaimanapun saya mengambil inspirasi dari pelbagai jenis muzik. Idea yang baik datang dari pelbagai jenis muzik.

Zairil

Syerleena: Abang saya, Riz, sentiasa dan masih banyak mempengaruhi. Dia abang yang 'cool' dan perkenalkan saya kepada gitar dan band-band yang hebat. Saya dengar macam-macam - the Replacements, Soundgarden, Guns & Roses, AC/DC, Sonic Youth, Dinosaur Jr, Love Me Butch, Faith No More. Terlalu banyak untuk disenaraikan.

Saya juga peminat tegar muzik era 80-an. Saya setuju dengn Zairil, idea hebat datang dari pelbagai jenis muzik dan itulah keindahan berada dalam band. Anda dapat inspirasi dan pengaruh dari anggota yang dengan muzik yang berbeza untuk hasilkan bunyian tersendiri.

S: Apa yang anda boleh beritahu tentang lirik dalam EP Suralaya?

Zairil: Sepertimana nama Priwayat, kami cuba bercerita menerusi lagu. Kami juga cenderung untuk jadi lirikal.

EP kami bernama Suralaya, iaitu istilah Sanskrit yang bermaksud 'tempat tinggal para dewa'. Dua lagi kami, Terbanglah dan Janabijana menggunakan gaya naratif klasikal bahasa Melayu. Malah Janabijana adalah istilah Melayu arkaik yang bermaksud 'tempat kelahiran'.

Kedua-dua lagu ini memiliki konotasi politik.

Kami serahkan kepada pendengar untuk mentafsirnya dan mengaitkannya dengan peristiwa - semasa atau silam. Salah satu lagu diinspirasikan daripada sebuah langkah politik yang berlaku dalam negara kita. Ada tema lain dalam EP ini, misalnya Sumpah Di Bumi Kawi menceritakan semula legenda Mahsuri. Aku Manusia pula tentang semangat insan yang sukar dikalahkan.

Syerleena: Zairil tulis lirik, saya hanya hasilkan riff dan bunyi yang menentukan nada lagu.

S: Tiga lagi anggota band adalah pemuzik, bukan ahli politik. Adakah anda berhasrat untuk buat band dengan sepenuhnya ahli politik pada masa akan datang?

Zairil: Haha, itu bukan matlamatnya. Kami bukan band novelty. Malah, kebetulan saja saya dan Syerleena ahli politik. Berkenaan ahli lain, kita semua ada pekerjaan masing-masing. Tetapi apabila bersama, saya hanya Zai yang main keyboard.

Syerleena: Saya tak sifatkan Priwayat sebagai band politikal. Pemain bass kami, Shanx juga ahli Damn Dirty Apes dan Coma, Zam pula pernah bersama band indie Pulau Pinang, Vigil. Jern pula dulu dengan Sepatu 69. Mereka semua pemuzik hebat yang banyak menyumbang dalam band ini. Ya, kebetulan saja saya dan Zairil terlibat dalam politik. Saya memang seronok bermain gitar dan menulis lagu.

S: Dari mana dapat dana untuk buat rakaman dan video promosi?

Zairil: Semuanya menggunakan belanja sendiri. Kami tidak bersama mana-mana syarikat rakaman. Kami terbitkan sendiri EP kami.

S: Sebelum ini kita dapat lihat video muzik politik yang agak 'menggelikan' (cringe), seperti Love is in the Air oleh MCA, Beribu-ribu Tahniah oleh MIC dan baru-baru ini wakil rakyat Selangor nyanyikan semula Standing in the Eyes of the World. Apa yang buat anda rasa EP ini tidak masuk dalam kategori sama?

Zairil: Saya tersinggung dengan soalan ini! (ketawa)

Saya rasa hebat untuk sesetengah ahli politik berekspresi melalui muzik, tetapi saya agak setuju ada di kalangan mereka yang tak perlu melakukannya. Apa-apa pun, karya kami bukan satu percubaan untuk dapatkan publisiti demi tujuan politik. Paling utama, ia adalah ekspresi kreativiti muzik kami. Kami persembahkan lagu kami, dengan harapan orang ramai akan menerima seadanya.

Syerleena: Comel tapi agak tragik bila orang akan teringat akan video-video tersebut apabila muzik dan ahli politik disebut dalam satu ayat yang sama.

Versi Standing in the Eyes of the World baru-baru ini ada semacam faktor 'feel good' tetapi saya rasa ia memiliki tujuan yang berbeza. Kami bukan berkempen atau cuba menawarkan propaganda politik secara visual. Kami berlima hanya suka mencipta dan bermain muzik.

S: Adakah ini sekadar satu projek atau permulaan kepada sesuatu yang penting dalam kehidupan kalian?

Zairil: Memang sukar untuk jangka apa yang berlaku. Buat masa ini, kami sudah pun mula mengusahakan material baru dan boleh menerbitkan album penuh tak lama lagi.

Syerleena: Semua hal dalam hidup ini perlu dianggap sebagai hal yang utama.

S: Ramai pemuzik di Malaysia bergelut ketika PKP. Keadaan sudah pun begitu sukar sebelumnya dengan tempat persembahan dan tidak ramai yang membeli karya asli. Apa yang boleh dilakukan untuk mengubahnya?

Zairil: Sekarang memang waktu sukar dan mencabar. Sebagai band baru, kami sukar mendapat peluang untuk but persembahan. Saya hanya mampu bayangkan kesukaran yang dihadapi pemuzik yang menyara kehidupan melalui persembahan.

Saya fikir kerajaan perlu secara serius menimbang untuk memberi kelonggaran dengan membenarkan lebih banyak persembahan secara langsung dengan pematuhan SOP. Jika keadaan ini berterusan, saya bimbang ia akan terus menjejaskan industri muzik tempatan, menyekat perkembangan ramai pemuzik berbakat.

Syerleena: Ini merupakan isu yang memang dekat dengan saya kerana kebanyakan kawan saya adalah pemuzik. Saya telah membawa gesaan di peringkat negeri untuk pembukaan semula ruang kepada pemuzik (seperti di pusat beli-belah, hotel dan medan selera).

Kerajaan negeri menyokong idea ini dan sedang menguruskan beberapa perincian untuk membantu bakat tempatan. Inisiatif seperti Show Penang mebolehkan pemuzik tempatan memohon geran dan acara muzik jalanan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang pula akan memberi lebih banyak peluang persembahan.

Secara peribadi pula, saya juga dalam proses membuka ruang di kawasan saya untuk membolehkan pemuzik membuat persembahan, tetapi peningkatan kes mutakhir ini memang membimbangkan. Pemilik perniagaan, pengurusan, pihak berkuasa tempatan dan kerajaan perlu bekerjasama - hidup perlu diteruskan dengan peraturan dan prosedur baru.

[Baca berita asal]