Skip to main
Logo Malaysiakini

40,000 liter Coca Cola disimbah untuk penggambaran filem Bond

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pihak produksi filem No Time To Die mendedahkan mereka menggunakan hampir 40,000 liter Coca Cola bagi mengurangkan kelicinan pada jalan berbatu di Itali semata-mata untuk menghasilkan aksi lagak ngeri motosikal James Bond.

Menurut ketua aksi lagak ngeri, Lee Morrison, pemegang karakter Bond, Daniel Craig mengusulkan idea tersebut bagi membolehkan pelakon penduanya Paul Edwards melompat menggunakan tanjakan setinggi 25 kaki pada kelajuan 60 batu sejam, merempuh dinding sebelum mendarat ke atas jalan raya.

“Saya menghabiskan hampir €60,000 (RM291,282) menumpahkan Coca Cola sekitar Matera,” Morrison dilaporkan sebagai berkata.

Menurut Morrison lagi, ada alasan mengapa dia melakukan muslihat sedemikian sejak dulu lagi.

“Saya sering menumpahkan Coca Cola di atas permukaan licin. Ia turut menjadikan sesebuah permukaan sangat bersih selepas dicuci,” katanya dipetik NME.

Untuk rekod, No Time To Die sepatutnya dijadual menjengah pawagam pada 10 April 2021, bagaimanapun tarikh tersebut diubah sebanyak dua kali ekoran pandemik Covid-19.

No Time To Die - kisah perisik 007 - adalah filem James Bond yang ke-15 namun menjadi yang terakhir buat Craig kerana usianya tidak lagi sesuai dengan konsep karakter perisik berumur 33 tahun.

Craig sebelum ini pernah menyatakan dia menyokong keputusan Warner Bro’s untuk menunda penayangan filem berkenaan.

“Perkara ini lebih besar daripada kita. Kami hanya mahu orang awam keluar menonton filem ini dengan cara yang betul dan selamat.

“Panggung wayang di seluruh dunia ditutup ketika ini. Kami mahu menerbitkan filem berkenaan pada waktu sama di seluruh dunia namun waktu ini bukanlah yang terbaik.

“Justeru, kami berharap 2 April akan menjadi tarikh sesuai untuk ia ditayangkan,” katanya.