Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas: Jangan langgar syarat lesen

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengingatkan pemegang lesen pengedaran filem untuk menghentikan sebarang kegiatan pengedaran filem sama ada menjual, menyewa dan memberi pinjam melalui platform media sosial, e-dagang dan laman sesawang.

Ia melibatkan urusan jual beli dan sewaan atas talian tanpa lesen pengedaran yang sah, melakukan pelanggaran hak cipta serta syarat-syarat lesen yang ditetapkan.

Finas dalam satu kenyataan berkata, mereka mengambil langkah proaktif dalam membanteras aktiviti pengedaran filem yang tidak mematuhi undang-undang melalui penubuhan Jawatankuasa Pembanterasan Cetak Rompak.

“Langkah ini diambil untuk memperkasa dan memantapkan penguatkuasaan, peraturan dan syarat lesen pengedaran selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244),” kata kenyataan itu.

Finas juga melaksanakan pemantauan terperinci terhadap aduan awam yang diterima mengenai kegiatan pengedaran filem tanpa kebenaran pemilik Hak Cipta.

“Finas komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam kegiatan pengedaran yang menyalahi undang-undang berdasarkan Seksyen 22(1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah Seksyen 25(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM50,000.00 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," kata kenyataan itu lagi.

Bagaimanapun, Finas masih bersifat terbuka dan menyambut baik untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi berkaitan dalam membanteras kegiatan aktiviti pengedaran filem tanpa lesen yang sah daripada agensi itu serta tidak mematuhi undang-undang.