Michael Ang perjelaskan 'keanehan' Uqasha bersalin tapi berseluar
Dalam nada sinis, pengarah filem, Michael Ang, mengingatkan agar warganet tidak cepat menjatuh hukum terhadap perkara yang berada di luar pengetahuan mereka.
Kata Michael, hanya orang kurang bijak saja akan mensensasikan sesuatu perkara tidak sahih kerana situasi sebenar adalah berbeza daripada apa yang diperkatakan.
Michael berkata demikian selepas beberapa gambar dalam drama arahannya, Perempuan Tanpa Dosa, tular di alam maya susulan naskhah itu disifatkan tidak peka situasi wanita sedang bersalin.
Menurut Michael gambar yang tular dan dikecam sesetengah pihak itu sebenarnya hanyalah aksi di sebalik tabir drama yang sedang ditayangkan melalui Astro itu.
“Netizen-netizen ni mulut korang (kalian) boleh tahan. Mulut tak selaras dengan otak.
“Korang ni semua ada ijazah belajar tinggi- tinggi, cendekiawan apa-apa la tapi tetap no brainer (tiada otak). Aku rasa mulut korang lagi cepat daripada otak yang lembab.
“Agak-agaklah. Sah-sah gambar tu diambil sewaktu belakang tabir. Korang tahu ke apa aku rakamkan. Belum tengok dah kutuk. Nilah, bila baca akhbar, baca tajuk saja. Tak baca sampai habis,” katanya di Instagram.
Terdahulu, seorang pengguna Twitter memuat naik gambar Lily - watak dibawa Uqasha Senrose - sedang bertarung nyawa untuk melahirkan anaknya.
Proses itu dibantu oleh Usu Sakinah (Uyaina Arshad) sebelum diakhiri dengan babak Lily meninggal dunia sambil dirangkul Rizal (Kamal Adli).
Aksi Lily bersalin tetapi masih memakai seluar itu mencetuskan polemik kerana dia dilihat seolah-olah sedang meneran bayi dalam keadaan masih berseluar.
Masih dalam nada menyindir, Michael, 44, berkata umat Islam ditegah daripada mencaci dan mengutuk kerana ia membawa dosa.
“Dosa dik. Kita Islam jangan kutuk-kutuk. Tapi apa pun, korang memang buat aku tergelak besar hari ni,” katanya.
Sementara itu, Kamal menjawab ciapan seorang lagi pengguna Twitter yang berkongsi beberapa gambar babak dalam drama bersiri tersebut dengan kapsyen: “Beranak pakai seluar.”
Menurut pemilik nama penuh Ahmad Kamal Ahmad Adli itu, apa yang dikongsikan dirakam untuk belakang tabir selain meminta netizen untuk menanti dengan penuh sabar babak berkenaan siap.
“Ni tengok belakang tabir dan babak. Tunggu siap OK,” ciapnya.
Kata Kamal, 34, produksi drama itu sedaya-upaya menutup aib pelakon dengan menggunakan banyak sudut kamera berlainan.
“Belakang tabir memang kita tutup aib dan banyak camera angle untuk cover, muka berdarah semua tu korang tunggu siap OK,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai