Skip to main
Logo Malaysiakini

Rombak karya berkali-kali, 10 tahun baru siap, pengarah cuba berlaku adil pada Oscar Wilde

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Keperluan memberikan keadilan buat susuk yang menjadi idolanya, Oscar Wilde, menyebabkan Mencari Rahmat - yang diadaptasi dari The Importance of Being Earnest - dirombak berkali-kali hingga filem itu hanya siap selepas 10 tahun kemudian.

Kata Pengarah Al Jafree Md Yusop, kerisauan timbul sekiranya naskhah arahannya tersasar jauh daripada hasil nukilan disampaikan pengarang kelahiran Ireland yang terkenal sekitar era 1890-an itu.

“Dah tulis tak jadi, kemudian rombak semula sebab tak kena dengan maksud asal.

"Saya berasakan perlu untuk bagi keadilan pada karya tersebut sebab Oscar Wilde adalah seseorang yang saya sangat kagumi.

“Jika tak, nanti orang kata tak macam Oscar Wilde pun, justeru kerisauan tu memang ada,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, kata Al Jafree, 54, tempoh 10 tahun tersebut termasuk jangka masa dia dapat menumpukan perhatian pada apa sedang dilakukannya ketika itu.

“Yang sampai 10 tahun tu, apabila dapat tulis 10 muka surat, berehat kemudian sambung tiga tahun kemudian sebab memang sukar untuk terjemahkan maksud di sebalik The Importance of Being Earnest tu,” katanya.

The Importance Of Being Earnest pernah dipentaskan pada 1895 di St. James's Theatre, London.

Masih relevan zaman ini

Ia merupakan sebuah naskhah komedi yang cukup terkenal berkisahkan dua lelaki - John Worthing dan Algernon Moncrieff - yang mempunyai identiti khayalan masing-masing.

Dalam Mencari Rahmat, dua watak utama diketengahkan ialah Razak, watak dijayakan Nam Ron, dan Azman (Amerul Affendi).

Karya itu berkisahkan Razak seorang ahli perniagaan yang berjaya tinggal di Pulau Pinang. Dia diwasiatkan ibu bapa angkatnya untuk menjaga cucu mereka, Ratna.

Razak gemar berfoya-foya tapi pada masa sama perlu menunjukkan teladan baik pada Ratna. Justeru, dia mencipta watak Rahmat, konon adiknya yang dijadikan alasan untuk berfoya-foya.

Azman pula mempunyai anak saudara bernama Rose yang menjadi teman wanita Razak. Azman bosan duduk di rumah dan ingin berfoya-foya lalu mencipta watak kawan bernama Bunyamin.

Turut membintangi filem yang dijadual menjengah pawagam 31 Dis ini ialah Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.

Al Jafree Md Yusop

Melihat The Importance of Being Earnest sebagai sebuah karya unik dan mempunyai keistimewaan tersendiri mengilhamkan Al Jafree menghasilkan Mencari Rahmat yang mungkin mempunyai 80 peratus plot diinspirasi daripada naskhah berkenaan.

Mengulas relevan dia mengketengahkan karya era Victorian itu ketika ini, Al Jafree berkata, karya itu 'menganjing' golongan atasan.

“Apa dia perkatakan masih relevan untuk negara kita pada zaman sekarang. Kita tak jadi diri sendiri sewaktu berdepan masyarakat.

“Manusia tak bebas jadi diri sendiri kerana risaukan pandangan masyarakat. Kita hanya jadi diri sendiri dalam tandas, tapi bila keluar pakai 'topeng' lain,” katanya.

Ditanya reaksinya berhubung jadual tayangan di samping situasi Covid-19 dalam negara, Al Jafree berkata, dia berharap wabak itu dapat menunjukkan tanda-tanda akan reda pada penghujung tahun ini.

“Memang ada kerisauan, setakat ini panggung yang ditutup di beberapa tempat saja. Di tempat lain belum lagi. Harap Covid-19 dapat reda.

“Kerana selepas kita dicabar dengan wabak, kita juga perlukan hiburan. Gelak ketawa sangat-sangat diperlukan,” katanya.