Skip to main
Logo Malaysiakini

Tayangan Mencari Rahmat ditunda

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Filem Mencari Rahmat yang sepatutnya ditayangkan pada 31 Disember ini terpaksa ditunda susulan penutupan sementara panggung wayang di seluruh negara bermula 2 Nov lalu.

Penerbitnya Zuli Ismail berkata, perbincangan untuk satu tarikh baru tayangan filem itu sedang dibincangkan.

“Sebagai penerbit, saya ingin nyatakan bahawa tarikh tayangan filem Mencari Rahmat yang dijadualkan pada 31 Disember ini terpaksa ditunda berikutan penutupan sementara operasi pawagam.

“Kami juga telah menerima surat daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) yang memaklumkan tarikh tayangan filem ini akan dijadualkan semula,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, penangguhan itu merupakan hal yang tidak dapat dielakkan susulan penularan wabak Covid-19 pada masa ini.

"Saya percaya ramai yang menantikan tayangan filem ini...Sudah tentu kami berharap agar penonton dapat bersabar sehingga filem ini akan ditayangkan di pawagam,” katanya lagi.

Ini merupakan kali kedua tayangan Mencari Rahmat ditunda. Pada mulanya ia dijadual ditayangkan pada 18 Jun lalu tetapi ditangguhkan susulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan.

Mencari Rahmat adalah karya pengarah Al Jafree Md Yusop yang diadaptasi daripada The Importance Of Being Earnest, karya pengarang ternama Oscar Wilde yang pertama kali dipentaskan pada 1895.

Ia merupakan naskhah komedi yang cukup terkenal berkisahkan dua lelaki - John Worthing dan Algernon Moncrieff - yang mempunyai identiti khayalan masing-masing.

Dalam Mencari Rahmat, dua watak utama yang diketengahkan ialah Razak yang dipegang Nam Ron dan Azman (Amerul Affendi) yang masing-masing mencipta watak khayalan untuk diri sendiri.

Turut membintangi filem ini ialah Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor, Fauziah Nawi, Azman Hassan dan Eric Fuzi.