Skip to main
Logo Malaysiakini

Biarkan seni mengurus politik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | “Saya minta maaf... tetapi saya tidak mahu menjadi maharaja, Itu bukan urusan saya. Saya tidak mahu memerintah atau menakluk sesiapa. Saya ingin menolong semua orang jika boleh.

"Yahudi, kafir, orang kulit hitam, orang kulit putih. Kita semua mahu saling bantu-membantu, manusia memang seharusnya begitu. Kita ingin saling hidup dengan bahagia, bukan hidup hasil dari penderitaan manusia lainnya.

"Kita tidak mahu saling membenci serta saling memandang rendah sesama kita, dan dunia ini mempunyai tempat untuk semua, dan bumi bertuah yang luas ini terlalu kaya dan mampu menampung kebahagiaan setiap manusia.

"Kepercayaan hidup seharusnya buat kehidupan kita bebas dan membahagiakan manusia, namun kita telah sesat.”

Itu bukan kata-kata seorang perdana menteri yang mengaku abah kepada rakyatnya. Bukan pula ucapan maaf secara terbuka dari seorang menteri atau seorang 'waibi' yang gagal memautuhi SOP.

Ia juga bukan teks khutbah Jumaat yang dibaca oleh seorang menteri agama mahupun ayat-ayat munajat seorang duta khas perdana menteri bertaraf menteri.

Erti kemanusian yang benar-benar memahami maksud bahagia dan makna humanis dalam kata-kata diatas itu juga tak dapat kita jumpa pada pembentangan belanjawan oleh menteri kewangan.

Belanjawan 2021 bukanlah belanjawan krisis. Ia juga bukan belanjawan pandemik yang nampak bersungguh-sungguh mahu menyelamatkan rakyat yang sedang kabur masa depan masing-masing dan serabut mencari semula hidup.

Pertumpahan darah dan derita

Rakyat sedang terdesak untuk membina semula bahagia sekarang.

Belanjawan 2021 hanyalah belanjawan menguruskan kelangsungan politik kerajaan bagi memulihara status quo agar orang yang sekarang berkuasa kekal berkuasa.

Demikianlah politik di tangan orang politik. ‘Politiking’ yang kebelakangan ini kerap kita dengar telah menjadi suatu realiti pahit yang terpaksa kita - orang yang bergulat dengan segala macam kepayahan ini - telan penuh derita.

Kata-kata di atas tadi tidak berakhir di sana. Kenyataan bahawa kita semua telah sesat hanyalah suatu permulaan berupa sebab dan akibat daripada perjalanan yang masih lama.

“Keserakahan telah meracuni jiwa manusia, ia telah memagari dunia ini dengan kebencian, hingga semudahnya memperdaya sampai mencampak kita ke dalam pertumpahan darah dan derita.”

Kalau politikus tak main politik, lantas mereka harus main apa?

Cuba bayangkan seketika - seandainya politik Malaysia dimainkan oleh tukang gunting rambut. Cuba gunakan imaginasi untuk membayangkan ia sesuatu benar-benar nyata.

Manalah tahu kalau imaginasi ini boleh memberi inspirasi. Kita sudah penat melihat 'antik' menteri yang dangkal menyalahkan rakyat kerana tiada liputan internet, misalnya, atau ada orang politik meletakkan hukum bahawa ketua pengarah kesihatan "takut mati".

Jika kamu tidak tahu, kata-kata yang menjadi pembuka tulisan ini tadi dilafazkan seorang tukang gunting rambut Yahudi yang dizalimi. Dia menyamar sebagai seorang diktator Adenoid Hynkel.

Dalam penyamarannya si tukang gunting rambut itu diraikan segerombolan general tentera di kota Osterlich bagi merayakan kejayaan penaklukan besar-besaran rejim Hynkel.

Penyamaran itu adalah satu-satunya cara si tukang gunting rambut menyelamatkan jiwa. Justeru dia - yang tidak pernah sekali pun membuat ucapan di depan sesiapa - tiada pilihan lain kecuali berucap di hadapan lautan bala tentera.

Dialog pada ucapan di hujung filem satira politik yang diterbit, ditulis, dilakon dan diarahkan oleh Charlie Chaplin pada 1940 ini adalah antara dialog paling diingati dalam sejarah filem.

Filem berjudul The Great Dictator itu hanyalah satu daripada 11 filem hebat Chaplin selain City Lights dan Modern Times yang pernah dia hasilkan.

Identik Chaplin menyampaikan filem melalui cara dan gaya komedinya sungguh bergaya. Ia sama seperti dunia mengenalinya buat pertama kali semasa muncul pada 1921 dalam filem The Kid. Kompleksiti komedi Chaplin semakin provokatif dan berani menyerang tirani.

Persendaan Chaplin terhadap Adolf Hitler melalui watak lakonannya sebagai Adenoid Hynkel begitu ‘real’.

Mesin lemahkan pemikiran

The Great Dictator menjadi suara perjuangan para murbawan. Liar mengecam kebobrokan urusan politik fasisme dan antisemitisme. Gaya Chaplin 'menganjing' susuk bernama Benito Mussolini dan Nazi menjadikan filem itu sebuah karya penting dari aspek budaya, sejarah serta estetikanya.

Ia menjadikan The Great Dictator dikenang sebagai salah sebuah filem yang begitu menginspirasikan manusia untuk mengecap kebebasan demi merasai bahagia.

Ketika ada timbalan menteri yang entah hingga bila akan sentiasa terikut-ikut akan gaya orang lain - termasuk 'abahnya' - untuk mendahulukan bangsa sebelum negara bagi menguruskan kerajaan, mungkin ucapan tukang gunting tadi mampu jadi penyuluh membawa pencerahan tentang bagaimana menguruskan politik.

“Kemajuan telah membawa kita bergerak begitu pantas, akan tetapi kita menutup fikiran.

"Mesin-mesin yang memberi kita banyak manafaat telah membuat fikiran kita lemah. Ilmu pengetahuan telah menjadikan kita sinikal, kepandaian malah jadi buas dan jahat.

"Kita terlalu banyak berfikir dan terlalu sedikit merasakan. Kita perlukan manusia lebih daripada jentera. Keperluan kita terhadap kebaikan dan kesopanan adalah lebih utama berbanding hanya sebuah kepandaian.

"Tanpa kualiti-kualiti ini kehidupan kita akan jadi ganas, dan seluruh kehidupan akan hilang.”

Orang politik memang kerjanya main politik, bukan main najis. Politikus yang menjadi kerajaan seharusnya mengurus pelbagai hal termasuk memberikan contoh terbaik sentasai.

Ia menjadi lebih perlu apabila berada dalam tempat yang dihormati seperti Dewan Rakyat.

Cuba kita renung sekejap wajah wakil-wakil rakyat kita di Dewan Rakyat. Mereka bukan tukang gunting rambut, sebaliknya manusia yang berpakaian kemas itu digelar yang berhormat.

Selain sibuk menghadiri sidang parlimen, tidak sedikit daripada mereka turut sibuk turun naik mahkamah untuk mengikuti prosiding kes-kes korupsi yang sedang dibicarakan.

Lantas apa yang kita - rakyat ini - mahu harapkan? Lebih baik biarkan seni bermain politik. Biar politikus main najis, kotoran dan kumbahan di tepi jalan sesuai dengan kelaku dan percakapan mereka.


HARIS HAUZAH ialah tukang cat, penyajak dan penulis yang mahu tinggal di awan. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.