Skip to main
Logo Malaysiakini

Eizlan Yusof kecewa dituduh salah guna kuasa oleh Hans

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Eizlan Yusof, meluahkan perasaan kecewanya atas dakwaan dibuat bekas pengerusi badan berkenaan, Hans Isaac, berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan syarikat produksi Exellent Pictures Sdn Bhd.

Kata Eizlan, tuduhan tidak berasas itu mencemarkan nama, imej dan reputasinya sedangkan dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat terbabit sama ada sebagai pengarah mahupun pemegang saham.

“Syarikat tersebut dikatakan ada menerima geran Dana Kandungan Digital (DKD) daripada Finas.

“Tuduhan dibuat pada 16 November lalu oleh Hans melalui kumpulan WhatsApp Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) yang mempunyai ahli melebihi 200 orang.

“Dakwaan palsu Hans secara langsung telah menular dan masih berlarutan sehingga mencalarkan nama baik, reputasi, mengganggu fokus saya selain menerima tekanan pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan itu, Eizlan, 49, yang juga pelakon itu melantik peguam dari firma Tetuan Shaharudinali Azfarazmi & Co untuk memulakan proses perundangan.

“Tindakan guaman terhadap Hans sedang berjalan,” katanya.

Menurut Eizlan secara tidak langsung, tuduhan terbabit turut menjejaskan karier dan perniagaan yang diusahakannya.

“Perkara ini tak seharusnya berlaku kerana imej dan reputasi saya terkesan akibat dusta tersebut, khasnya saya selaku ahli Perbadanan Finas.

“Ia turut mencalarkan kredibiliti saya selaku penggiat industri kreatif yang telah berkecimpung lebih 20 tahun serta dikenali masyarakat dan industri perfileman negara,” katanya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Hans bagi mengulas lanjut perkara berkenaan.