Skip to main
Logo Malaysiakini

Ketua juri Muzik-Muzik 35 minta Alif Satar tak dipersalah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Komposer dan penulis lirik Azmeer memohon agar masyarakat tidak mudah menjatuhkan hukum ke atas Alif Satar ekoran tergendalanya separuh akhir Muzik-Muzik 35 yang dijadualkan bersiaran pada 22 Nov lalu.

Azmeer yang bertindak selaku Ketua Juri Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (MM35) itu sebaliknya berharap agar Alif segera diberi kesembuhan daripada Covid-19 selain dapat meneruskan kerjayanya seperti biasa.

“Jangan salahkan Alif, kasihan dia. Mudah-mudahan Alif segera sihat,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Alif atau nama penuhnya Muhammad Alif Mohd Satar sebelum itu mendendahkan melalui Instagram pada 22 Nov lalu bahawa dia dijangkiti Covid-19.

Dia menjalani ujian Covid-19 selepas mempunyai kontak rapat dengan seorang individu positif pada 17 Nov lalu.

Berita itu diumumkan selepas Alif, 30, selesai membuat persembahan separuh akhir MM35 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam pada 20 Nov lalu.

Rentetan itu, penyanyi, pengacara dan kru yang terbabit produksi memulakan kuarantin manakala kontak rapat dengan Alif menjalani ujian Covid-19.

Turut mengambil inisiatif sama, enam juri - yang masing-masing mengemas kini status ujian berkenaan di akaun media sosial masing-masing - iaitu Mokhazani Ismail, Helen Yap, Ajai, AG Coco, Edrie Hashim dan Fauzi Marzuki.

Mengulas situasi kesihatannya ketika ini, Azmeer atau nama sebenarnya Mohd Azhar Abu Bakar berkata dia tidak mempunyai kontak rapat dengan Aliff.

Bagaimanapun, sebagai langkah berjaga-jaga dia sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah selama dua minggu.

“Nama saya tak disenaraikan kerana saya tak mempunyai kontak rapat. Saya berada di Sri Pentas tapi tak berjumpa sesiapa. Lif juri juga berasingan daripada artis.

“Hanya yang kontak rapat saja dikehendaki menjalan ujian. Di sana, saya duduk di hujung tak bercampur artis, hanya buka pelitup muka jika berada di pentas saja.

“Namun, sekiranya ada tanda-tanda wabak selepas empat atau lima hari kemudian, saya akan terus lakukan ujian,” katanya.