Skip to main
Logo Malaysiakini

Kami semua merinduimu Iqmal yang dulu, kata bapa Da'i Syed

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mengakui sudah lama mendengar perkara 'tidak manis' berhubung anaknya, bapa Da’i Syed menasihatkan bekas peserta program Da’i Pendakwah Nusantara itu meninggalkan dunia hiburan sekiranya dia didapati benar-benar bersalah.

Syed Mohammad Shaiful Syed Jamalullail turut menasihatkan agar anaknya itu tidak menggunakan agama untuk menutup sebarang kejahatan jika ada yang dilakukannya.

“Jika benar kamu berakhlak buruk seperti didakwa atau ditularkan, janganlah kamu menggunakan agama sebagai topeng untuk menutup segala kebejatanmu kerana perbuatan itu lebih hina daripada iblis.

“Tinggalkan dunia selebriti dan kembalilah ke jalan Allah dan jalan leluhurmu. Kami semua merinduimu Iqmal yang dulu," katanya.

Syed Mohammad Shaiful - yang kini berada di Mesir - berkata, sampai di suatu tahap mereka sekeluarga sudah letih untuk berdepan mana-mana lagi isu tular anaknya apatah lagi ia menjejaskan emosi adik-beradik Syed yang lain.

“Kami dah letih nak hadap isu semacam ini, apalagi adik-adiknya yang masih belajar, mereka tertekan dengan soalan-soalan sindiran dan ejekan dari teman-teman di sekolah,” katanya.

Semalam Malaysiakini melaporkan, Syed - atau nama penuhnya Syed Shah Iqmal - membuat laporan polis selepas terdapat satu akaun Twitter mendakwa dia merogol kawannya.

Penyanyi dan pelakon berusia 25 tahun itu membuat laporan tersebut kerana ingin membersihkan namanya selain melindungi dirinya daripada dikaitkan dengan dakwaan yang dikatakan tidak berasas itu. 

Harap dapat keberkatan hidup

Syed Mohammad Shaiful turut menggesa mana-mana wanita yang mendakwa pernah menjadi mangsa Syed untuk segera membuat laporan polis.

Dia yang mengambil pendirian untuk tidak memihak pada anaknya sekiranya benar-benar bersalah itu berkata, tuduhan terbabit perlu disiasat agar pihak berkuasa boleh mengambil tindakan yang sewajarnya.

“Bagi mereka yang pernah menghubungi untuk mengadu kepada saya (yang mengaku mangsa), pergilah lapor kepada pihak berkuasa untuk disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

“Saya beri jaminan tidak akan sama sekali mempertahankan atau menyebelahi anak saya sekiranya dia memang melakukan kesalahan tersebut,” katanya.

Menurut Syed Mohammad Shaiful sejak Syed kecil dia seboleh-bolehnya mendidik anaknya itu mengikut saranan agama selain memberikan nasihat namun semua itu terhenti apabila Syed didakwa tidak mengendahkannya.

“Segala didikan yang saya beri kepadanya sejak kecil adalah menurut yang agama sarankan dan tindakan untuk menegur serta nasihat kepadanya telah pun saya usahakan sebaiknya.

“Namun tiada upaya lagi bila semua mesej saya itu diabaikan, sudah dua tahun tanpa dibalas sepatah pun,” katanya.

Menurut Syed Mohammad Shaiful, dia menyerahkan urusan pengadilan kepada Allah SWT sekiranya dakwaan merogol terbabit didapati benar selain berharap anaknya itu kembali ke pangkal jalan.

“Saya lebih rela dia diadili di dunia daripada dihadap di akhirat di hadapan Qadhi Rabbul Jalil.

“Kami pihak keluarga hanya mampu berdoa supaya dijauhkan segala fitnah duniawi dan diberikan keberkatan dalam hidup dan mati,” katanya.