Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah enggan biarkan netizen kebal, mencaci sesuka hati

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Budaya memaki hamun dan menyakiti perasaan seseorang tidak harus dibiarkan berleluasa dalam kehidupan khususnya pengguna alam maya, kata penyanyi Aishah.

Menurutnya, dia enggan membiarkan budaya menghina terus meresap dalam kalangan masyarakat kerana beranggapan sikap negatif itu akan membuatkan pengguna alam maya semakin berasa ‘kebal’ dengan sikap masing-masing.

“Saya rasakan kita tak boleh nak biarkan budaya maki hamun dan cerca hina dalam alam maya lagi.

“Ni bukan budaya yang sihat untuk masyarakat kita. Kalau dah terbiasa dalam alam maya, mulut atau jari main lepas saja, lama kelamaan akan meresap dalam kehidupan sehari-hari.

“Ramai lagi yang akan rasa mereka kebal dan boleh kata apa saja tanpa mengira perasaan orang lain, tanpa mengambil kira hukum-hakam agama apabila menyakiti orang lain dengan komen-komen mereka dan menjadi masyarakat kurang ajar dan tak beradab,” katanya kepada Malaysiakini.

Justeru, kata pemilik nama penuh Wan Aishah Wan Ariffin itu, dia sedang menunggu maklum balas daripada peguam susulan kenyataan seorang netizen yang disifatkan menjatuhkan maruah dan reputasinya sebagai penyanyi.

“Saya menunggu maklum balas daripada peguam dan masih mengumpulkan maklumat mengenai individu terbabit,” katanya.

Dia berkata demikian susulan kenyataan seorang individu yang mengeluarkan pandangan dianggap menghina berkenaan persembahannya menyanyikan lagu asal nyanyian Siti Nurhaliza di separuh akhir Muzik-Muzik 35 (MM35) baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang ditinggalkan di ruang komen, individu tersebut berkata: “Jangan bagi apa-apa pada artis sendu tu takut nanti dia hantar hadiah tu ke kedai pajak gadai.”

Untuk rekod, walaupun ada yang memuji, Aishah, 55, yang membawakan lagu Aku Bidadari Syurgamu itu masih dikecam segelintir warganet kerana persembahannya malam itu disifatkan kurang menyerlah.

Aishah turut memuat naik wajah individu tersebut selain meminta pendapat pengikutnya di Instagram sama ada dia perlu mengheret netizen terbabit ke mahkamah atau tidak.

“Haaaa ini dia wajah orang menghina begitu sekali. Saya ni taklah sengkek sangat hingga kek pemberian Tok Ti (Siti Nurhaliza) pun takut dibawa ke pajak gadai," katanya sambil menganggap kenyataan tersebut sebagai melampau serta menjatuhkan reputasi serta maruahnya.