Skip to main
Logo Malaysiakini

Hisham Salmin - Dari mat rempit ke Gangsta Watakala

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hisham Salmin meninggalkan Johor Bahru ketika berusia 23 tahun. Beliau berbuat demikian untuk mencuba nasib di Kuala Lumpur.

Panggilan temuduga sebagai pereka grafik oleh syarikat Utusan Publication dan juga Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membuka jalan kepada beliau untuk meninggalkan dunia merempit - yang menurutnya semakin membosankan.

Merempit hanya membawa beliau hanya ke sana ke mari tanpa tujuan saban hari. Justeru beliau mencuba untuk keluar dari Johor Bahru dan tawaran temuduga daripada dua gergasi pererbitan itu membawa Hisham ke suatu perubahan yang sekian lama diharapkan.

Beliau diterima untuk bekerja oleh kedua-dua penerbitan tersebut. Setelah berfikir sebagai seorang ‘mat rempit’ Hisham telah Utusan. Antara alasan mengapa beliau memillih begitu ialah kerana waktu kerja di Utusan bermula jam 9 pagi, manakala di DBP pula lebih awal satu jam.

Setelah 13 tahun bergelumang dalam dunia grafik Hisham akhirnya mengambil keputusan untuk menjadi pelukis sepenuh masa.

Beliau memilih cat air sebagai medium. Langkah pertama beliau dalam dunia seni lukis bermula dengan mengikut kumpulan Kl Sketcher keluar melakar setiap hujung minggu bagi melatih diri dan juga menambah lebih ramai kenalan yang sealiran.

Dari situlah beliau mula berpameran. Tidak berapa lama kemudian, beliau bersama Abey Zoul - seorang arkitek - dan Jamal Tommy - seorang pelukis sepenuh masa - menubuhkan satu kumpulan pelukis cat air digelar sebagai Gangsta Watakala.

Hisham gemar keluar melukis di tempat-tempat awam dan kegemaran itu membawa beliau ke seluruh tanah air. Malah beliau juga telah ke beberapa negara di Rropah untuk melakar, selain menjejakkan kaki di Jepun, Korea Selatan dan Thailand.

Hari ini Hisham Salmin dikenali sebagai pelukis cat air yang disegani dan kerap mengadakan pameran di dalam dan luar negara.

Terbaru beliau dipilih untuk mengadakan pameran anjuran Balai Seni Negara bersama-sama dengan pelukis cat air tempatan dan luar.

Pameran Cat Air Asia Tenggara (PACA) berlangsung di Balai Seni Negara cawangan Pulau Langkawi.

Satu pencapaian yang membanggakan bagi seorang mat rempit yang berusaha mengubah kehidupan.