Skip to main
Logo Malaysiakini

Sheila Majid, saya mampu gantikan anda - Mohd Rafi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Biarpun namanya mungkin belum cukup dikenali umum, komposer dan pemuzik Mohd Rafi Shafie mengaku dia bersedia mengambil alih tugas Pengerusi Recording Performers Malaysia (RPM) daripada Sheila Majid yang didakwa gagal menyelesaikan isu kutipan royalti artis.

Berbekalkan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri muzik, Mohd Rafi mendakwa dia sudah mempunyai kredibiliti yang mencukupi untuk menerajui RPM serta membantu menyelesaikan masalah kutipan dan agihan royalti demi masa depan ahli pertubuhan itu.

Baginya, melihat masalah royalti yang masih berlarutan membuatkan dia fikir perlu campur tangan segera.

“Adakah Sheila akan anggap ni ancaman? Ya, ia memang ancaman. Dia pernah minta resume saya. Tapi apa boleh dikatakan ialah: Sheila Majid, saya mampu gantikan anda.

“Pada orang awam, nama saya agak asing kerana banyak terbabit di belakang tabir bersama artis rakaman dan persembahan.

“Namun, saya beritahu 100 peratus ahli RPM kenal siapa saya. Pengalaman saya untuk menerajui RPM sudah cukup termasuk daripada segi akademik,” katanya.

Menurut Mohd Rafi, seperti pemuzik lain, dia - yang menceburkan diri dalam bidang seni sejak 1990-an - turut terkesan apabila banyak hasil kerjanya sebelum ini belum mendapat bayaran royalti yang setimpal.

“Kita minta tak dapat, hantar e-mel juga tak ada jawapan. Justeru, sejak tiga, empat tahun kebelakangan ni saya cuba memahami setiap senario berlaku dan mula atur langkah untuk mendapatkan hak sendiri,” katanya.

Ahli berhak untuk bertanya

Mohd Rafi, 51, ditemui pada sidang media bertujuan mendesak Sheila meletak jawatan dalam RPM. Ia dianjurkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur semalam. Hadir sama, Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, penyanyi Khatijah Ibrahim dan Ito Mohd.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, sekiranya Sheila dan ahli lembaga pengarah RPM yang lain masih enggan meletak jawatan selain kemelut kutipan royalti masih tidak menemui jalan penyelesaian, Freddie tiada pilihan lain selain membawa isu tersebut kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Karyawan turut menggerakkan petisyen dalam talian pada penghujung bulan lalu bagi mendesak Sheila melepaskan jawatannya. Petisyen itu kini mencatatkan 114 tanda tangan ahli RPM. 

Selain itu, isu kutipan dan pengagihan royalti itu juga mendapat perhatian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang kini dilaporkan sedang melakukan siasatan.

Mohd Rafi berkata, sejak beberapa tahun lalu, RPM tidak memberikan keutamaan kepada ahli sebaliknya mandat pelaksanaan badan itu hanya berpihak kepada ahli lembaga pengarah.

“Pada pendapat saya, perlu ada kebaikan lepas tujuh tahun menjadi ahli RPM kerana kami berhak untuk bertanya dan menerima maklum balas.

“Patutnya, rungutan ahli didengar dan tidak diabaikan. Peneraju RPM perlu berada di landasan sebenar. Mereka juga perlu turun padang melihat masalah ahli seperti disuarakan Freddie.

“Kita tahu Sheila senang tapi apa boleh disimpulkan dia cuma tak tahu kesusahan dan masalah dihidapi ahli lain terutama ketika pandemik Covid-19,” katanya.