Skip to main
Logo Malaysiakini

Sheila Majid janji beri kenyataan lepas siasatan SPRM selesai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meskipun desakan demi desakan dibuat Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Recording Performers Malaysia (RPM) dilihat masih mengunci mulut berhubung dakwaan gagal menyelesaikan isu agihan royalti artis yang dikemukakan terhadap mereka.

Pengerusi RPM, Sheila Majid, berkata pihaknya hanya akan mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (RPM) selesai melakukan siasatan.

Kata Sheila, dia bimbang sekiranya kenyataan dikeluarkan boleh menganggu siasatan yang dijalankan pihak berkuasa.

“Saya belum boleh mengulas sebarang kenyataan berhubung Karyawan mahupun sidang media diadakan kelmarin.

“Selepas selesai nanti barulah RPM akan mengeluarkan kenyataan,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu, portal ini melaporkan Karyawan dan beberapa pemuzik lain mengadakan sidang media mendesak Sheila dan Ahli Lembaga Pengarah RPM melepaskan jawatan mereka.

Sesi itu dilakukan selepas mereka mendakwa tiada sebarang kebaikan diperoleh selama tujuh tahun Sheila dan ahli lembaga pengarahnya menerajui badan kutipan royalti tersebut.

Sudah minta dokumen

Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, berkata sekiranya usaha mereka masih menemui jalan buntu, perkara itu akan diadukan kepada bapa penyanyi Najwa Mahiaddin, iaitu Perdana Menteri Muhyiddin Yassin. 

Freddie yang juga anggota RPM sebelum itu menggerakkan petisyen dalam talian mendesak Sheila untuk meletak jawatan. Petisyen itu setakat ini sudah ditandangani seramai 114 ahli RPM. 

Selain itu, komposer dan pemuzik Mohd Rafi Shafie yang turut hadir sidang media kelmarin mendakwa dirinya layak untuk menggantikan tempat Sheila sebagai pengerusi RPM selepas 30 tahun berkecimpung dalam industri. 

Sheila yang terkenal dengan lagu Hitam Putih Kehidupan itu juga berkata, RPM setakat ini tidak akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

“RPM sedang disiasat. SPRM juga sudah hubungi pengurus besar RPM. Kami sedang atur tarikh dan masa untuk berjumpa.

“Mereka sudah minta dokumen daripada RPM dan kami memberi apa yang dipinta selain sedia memberi kerjasama penuh cuma SPRM belum lagi menghubungi saya,” katanya yang menerajui RPM sejak 2012.