Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Apa guna karya selamat tapi bosan’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penulis tidak seharusnya gusar dengan kontroversi ketika berkarya kerana sastera harus mencerminkan realiti, terutamanya isu politik semasa, kata novelis tersohor Bernice Chauly.

Katanya, penulis dunia seperti Mark Twain dan Salman Rushdie tidak mengelak realiti dan isu politik zaman mereka.

“Jadi amat penting untuk penulis dan peminat sastera untuk menulis isu yang penting masa kini dan untuk mereka percaya dengan kebolehan karya tersebut.

“Jika takut untuk dilabel sebagai berkontroversi, mengapa harus berkarya?” kata presiden PEN Malaysia.

Dia berkata demikian ketika ditanya kaedah untuk membuang rasa takut ketika menulis sesuatu karya dalam forum “Kalau sastera bungkam, bagaimana saya akan bicara? Satu penerokaan ikrar PEN Sejagat.”

Forum dalam talian tersebut dianjurkan oleh PEN Malaysia sempena Festival Kesusasteraan George Town minggu lepas.

Antara panelis yang turut serta adalah penulis muda Jaymani Sevanathan dan pemuisi Sarawak Kulleh Grasi.

Sasterawan kontroversi Faisal Tehrani (bawah), yang tujuh bukunya diharamkan, berperanan sebagai moderator.

Sementara itu, Bernice berkata tiada gunanya hanya menulis karya yang dianggap selamat tetapi membosankan.

Katanya, sastera mesti merakamkan sisi kemanusiaan yang tidak selalunya ditonjolkan.

“Sastera seharusnya ditulis tentang manusia yang melakukan perkara jahat terhadap satu sama lain,” katanya.

PEN terkenal sebagai sebuah kumpulan prokebebasan kreatif.

Era membaca karya sastera

Sementara itu. Bernice berkata sastera negara sekarang berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Hal ini kerana sastera tidak diterapkan sepenuhnya kepada para pelajar di sekolah.

“Bagaimana untuk kita menekan butang restart, bagaimana caranya untuk kita kembali ke zaman membaca karya sastera diraikan dan ibu bapa pula menerapkan sifat suka membaca kepada anak anak?

“Kita hidup di dalam Malaysia yang amat berlainan hari ini.”