Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Sarah, Shuib banyak belajar erti sabar tahun ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Siti Sarah mengakui tahun ini banyak mengajar makna sabar terutama selepas suaminya, Shuib dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penggubahan wang haram.

Siti Sarah bersyukur kerana dia dan Shuib berupaya untuk kekal positif sepanjang mereka menempuhi dugaan tersebut.

“Tahun ni banyak mengajar saya erti sabar yang luar biasa. Tapi saya bersyukur sangat-sangat kerana - alhamdulillah - kami dapat melalui cabaran dan dugaan ini dengan baik.

“Kami sentiasa cuba positif dan sabar dalam apa jua keadaan. Mujur Shuib seorang yang tenang. Kami tahu di mana kami berdiri serta yakin Allah sentiasa bersama kami,” katanya kepada Malaysiakini.

Pemilik nama penuh Siti Sarah Raisuddin itu berkata demikian selepas majlis sidang pelancaran single duet bersama Hazama, Terakhir Buat Teman diadakan secara maya kelmarin.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad dipanggil SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram sekitar Oktober lalu.

Syarikat rakaman dan pengurusan Indigital Music kemudian memaklumkan artis mereka iaitu Siti Sarah hanya menemani suaminya hadir ke ibu pejabat SPRM. 

Peguam mewakili pasangan itu, Muhammad Fadli M Sutri dalam kenyataan media menafikan pelawak, usahawan dan juruhebah radio terkenal itu ditahan reman SPRM.

Makin kenal erti sahabat

Bagaimanapun, Siti Sarah, 36, berkata, dia masih belum boleh mengulas lanjut perkara tersebut namun memberitahu pihaknya bakal mengadakan sidang media pada masa yang akan dimaklumkan kelak.

"Saya belum boleh berikan sebarang kenyataan. Jika semuanya selesai, insya-Allah kami akan buat sidang media,” katanya.

Ditanya mengenai kontroversi tercetus susulan itu, Siti Sarah, berkata, dia tidak mampu untuk menutup mulut masyarakat sekiranya mereka dengan mudah menjatuhkan hukum berhubung sesuatu isu.

Bagaimanapun, penyanyi Sandarkan Pada Kenangan itu mengingatkan warganet, sesuatu perkara boleh jatuh fitnah sekiranya mereka tersalah berbicara.

“Jika seseorang buat spekulasi, saya tak boleh buat apa-apa kerana dia sudahpun mencetuskan perkara tu sendiri. Tapi kena ingat, jika salah bual, akan jatuh fitnah,” katanya.

Pun begitu, Siti Sarah mengakui pengalaman itu juga mengajar dia semakin kenal erti persahabatan.

“Lepas apa terjadi, saya tahu siapa kawan atau lawan. Siapa yang datang sebab betul-betul ikhlas nak berkawan atau mendekati sebab ada kepentingan.

“Semua ini Allah tunjuk satu persatu dan sebab itulah saya amat bersyukur kerana ia memberi peringatan kepada diri sendiri dan mengenai orang sekeliling saya,” katanya.