Dewan Sastera utamakan penambahbaikan
WAWANCARA | Peminat Dewan Sastera mungkin tidak akan melihat banyak perubahan besar dalam persembahan majalah itu walaupun ia kini diketuai editor baru.
Sebaliknya kata editor yang baru memulakan tugasnya Dis ini, Fadli Al-Akiti, berbanding mencipta pembaharuan pada setiap masa, lebih baik bagi Dewan Sastera tampil dengan banyak penambahbaikan.
“Apa keperluan buat pembaharuan sedangkan sekarang Dewan Sastera sudah ada 'penyapu lama' yang mampu melakukan fungsi sama? Bagi saya, yang lama atau sedia ada tak semestinya tak bagus dan asyik perlu diubah sepanjang masa.
“Memang benar 'penyapu baru' boleh menyapu, tapi penyapu lama pun boleh menyapu hingga ke sudut sekecil-kecilnya dalam sesebuah rumah. Namun, kata kunci di sini adalah penambahbaikan, saya rasakan setakat ini, hal itu lebih baik daripada cipta pembaharuan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fadli berkata proses pembaharuan sudah dilakukan sejak 2012 lagi dan dibuat untuk 'menangkap' pembaca muda yang dipercayai lebih menerima majalah Tunas Cipta.
“Ada pembaharuan dilakukan iaitu (halaman) Dewan Sastera diwarnakan keseluruhannya untuk menangkap pembaca muda yang dikatakan lebih membaca Tunas Cipta.
"Statistik menyatakan pembaca lama atau veteran dah biasa memilih Dewan Sastera. Dewan Sastera pula seperti hilang dalam pasaran pada waktu tu disebabkan beberapa perkara menyebabkan pengedaran majalah tak berlangsung dengan baik,” katanya.
Untuk rekod, Fadli yang juga terkenal sebagai pengkritik filem sebelum itu pernah memegang jawatan editor Dewan Sastera selama lima tahun sejak 2012.
Setiap penulis ada zaman
Diminta mengulas bagaimana untuk mengekalkan kelangsungan Dewan Sastera tatkala semua bahan penerbitan terpaksa bersaing dengan teknologi digital, Fadli berkata, dari sudut pengedaran akses setakat ini DBP tiada masalah terutama apabila majalah tersebut boleh didapati secara percuma melalui dalam talian seperti Shopee.
Bagaimanapun, katanya, kesukaran timbul untuk 'menangkap pasaran antarabangsa dan atas alasan itu justeru DBP mula memuat naik Dewan Sastera secara dalam talian.
“Untuk tarik pasaran antarabangsa, antara proses dilakukan ialah mengirim majalah tersebut ke beberapa pusat pengajian antarabangsa yang ada membuat permohonan, tapi mereka masih susah nak dapat walaupun melanggan.
"Itu antara isu kenapa DBP muat naik Dewan Sastera dalam talian,” katanya.
Menyentuh mengenai kekuatan penulis muda dan ketelitian mereka menghasilkan karya, Fadli berkata, apa yang dilihatnya ketika ini adalah mereka seolah-olah ‘dikelompokkan’ mengikut tahun hingga menjurus sikap individualistik.
Menurutnya, negara ini tiada imej penulis yang boleh digambarkan secara kolektif.
“Saya rasa setiap penulis ini ada zamannya, ada pelapisnya dan malah suara-suara anak muda ini sudah tertentu berbeza dengan para penulis mapan sebelum ini tapi persoalannya sekarang ini adakah ada kekuatan antara penulis muda dalam ketelitiannya?
"Adakah penulisan mereka sebaik-baik contoh seperti apabila SM Zakir menulis pada waktu muda, karyanya dimasukkan ke Dewan Sastera, atau seperti Zaen Kasturi yang menulis pada umur sangat muda dan (diterima) dalam Dewan Sastera.
"Adakah sampai tahap itu ataupun boleh pergi lebih baik lagi dalam kalangan anak-anak muda untuk menulis?" katanya.
Masalah dengan dunia sastera Malaysia, kata Fadli, ialah penulis terlalu mengikut tahun mereka mula muncul. Contohnya, tahun 1980-an, penulis 1990-an atau penulis era 2000-an.
“Kita tiada imej penulis kumpulan kolektif sebab kita dah mempunyai sejarah sastera sebegitu rupa.
"Pada awalnya (ada) Asas 50 dan seterusnya orang akan sentiasa fikir penulis dikelompokkan mengikut dekad, sedangkan kita mahu - sebagai contoh di Barat - penulis dipecahkan mengikut kelompok yang mengerakkan bentuk romantisme atau penulis Beat pada 1970-an, sewaktu zaman bergelodak anak-anak muda di Amerika melawan institusi waktu itu.
"Seterusnya ada kumpulan penulis yang terbentuk dan membawa ideologi dan semangat tersendiri.
“Ini orang kata memberi kesedaran terhadap dunia sastera. Jadi saya mencari ini di Malaysia kerana di sini lebih banyak - dari segi 'nafas' - yang lebih individualistik dan dia lebih bergerak seorang,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai