Skip to main
Logo Malaysiakini

Karyawan nak merayu pada KKM beri kelonggaran di zon hijau

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) akan berjumpa dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah bagi memohon kerajaan memberi kelonggaran untuk mengadakan persembahan seni di kawasan zon hijau.

Kata presidennya, Freddie Fernandez, pertemuan itu diusahakan bagi membincangkan kesesuaian mana-mana pusat hiburan ataupun hotel untuk dibuka semula dengan kawalan keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Menurutnya, kebenaran itu cuba didapatkan agar kesempitan sesetengah pemuzik atau penyanyi dapat diringankan selepas mereka terseksa sekian lama akibat penularan Covid-19.

“Dua bulan lalu saya berjumpa dengan seorang pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan meminta dia mengaturkan perjumpaan dengan Dr Noor Hisham.

“Saya ingin menjelaskan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segala masalah dihidapi pemuzik supaya dia boleh memberi kelonggaran dan membenarkan pemuzik mengadakan persembahan di zon hijau dan yang tiada masalah Covid-19 serius,” katanya.

Freddie ditemui semasa majlis pelancaran Marqazz Rock Cafe di Taman Cahaya Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.

Dia hadir di majlis itu sebagai tanda sokongan ke atas empat pemuzik yang bekerjasama membuka tempat makan dalam usaha mereka mencari sumber pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan pemuzik berkenaan mengeluh kerana terpaksa bergelut dari semasa ke semasa untuk menampung sewa bulanan selepas membuka kedai makan. 

Kata Freddie, 67, dia sedang menanti maklum balas daripada pihak KKM untuk mengadakan pertemuan tersebut.

Bagaimanapun, dia menegaskan pertemuan tersebut bukanlah untuk "meminta-minta" pada kerajaan sebaliknya cuma mahu menyalurkan suara pemuzik agar pihak berkuasa prihatin dengan apa sedang dialami mereka.

“Sudah 11 bulan mereka ni tak bekerja atau tak dapat kerja. Ini memang zaman mencabar buat pemuzik mahupun penyanyi.

“Begitu juga artis rakaman. Mereka pun tiada single... album semua tak jalan.

"Saya boleh faham, semua orang memang tak ada duit pada zaman mencabar ini,” katanya.