Skip to main
Logo Malaysiakini

Kanak-kanak Sarawak ungguli anugerah antarabangsa filem animasi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sebuah filem pendek animasi karya Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfakat Mohd Zulfadhli - dua kanak-kanak berusia 11 tahun dari Serian Sarawak - telah memenangi anugerah filem antarabangsa, Festival de Cinema Escola de Alvorada (Fecea), di Brazil baru-baru ini.

Filem yang dihasilkan dua murid perempuan yang bertajuk B.B - Batuh Bijanji itu, memenangi anugerah 'Best Film By Popular Jury' bagi kategori sekolah rendah pada festival tersebut.

Filem animasi itu juga dicalonkan dalam kategori anugerah animasi terbaik bagi peringkat sekolah rendah, namun rezeki tidak memihak kepada mereka.

Untuk rekod, festival filem itu meraikan filem yang dibuat oleh pelajar sekolah dan universiti.

Batuh Bijanji bermaksud batu perjanjian dalam dialek Bidayuh Serian.

Pembikin filem ini, Macgres dan Nabiatul merupakan murid tahun 5 di Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Serian.

Filem yang berdurasi lima minit 34 saat itu menceritakan kisah persahabatan dua rakan perempuan sebelum tragedi menimpa kepada salah seorang sahabatnya itu.

Macgres dan Nabiatul dibantu oleh guru mereka, Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi, Mohd Reduan Patah dan syarikat produksi Wan Zulfadli, D-Mulsion.

Portal Utusan Borneo melaporkan, Wan Zulfadli bersama Mohd Reduan membantu dua murid tersebut untuk menghasilkan filem terbabit dalam masa 10 hari ini.

Jelasnya lagi, mereka juga mengajar Macgres dan Nabiatul teknik rotoscoping iaitu sebuah teknik di mana animator mengesan rakaman ditangkap untuk menghasilkan animasi seakan-akan realistik.

Menurut Wan Zulfadli lagi, projek ini seliaan Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekolahnya, yang turut dipantau penolong kanan kokurikulum Stanley Ngawah dan diluluskan guru besar Cleveland Raden.

Tambah guru itu, majlis anugerah juga dijalankan secara dalam talian menerusi 'Google Meet' pada 28 November sekitar jam 4 petang.

“Trofi anugerah akan dihantar menerusi pos,” katanya lagi.