Ellie ketuai NGO laporkan filem Namewee kepada polis
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis terhadap pengarah Namewee - atau nama sebenarnya Wee Meng Chee - atas dakwaan cuba memburuk-burukkan imej Malaysia di luar negara melalui filem arahannya, Babi.
Pengasas Gabungan NGO Melayu dan Anak Seni (Gabung) yang juga pengarah serta aktres Ellie Suriati Omar berkata laporan dibuat kerana kebimbangan terhadap kandungan filem tersebut yang ditayangkan di beberapa festival luar negara.
Atas kapasitinya sebagai penggiat industri kreatif, Ellie juga mempersoalkan niat serta agenda Namawee menggambarkan intitusi persekolahan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam perspektif negatif.
“Walaupun kami hanya menonton paparan trailer, apa dapat disimpulkan adalah pengarah itu menyampaikan maksud bahawa Melayu, India, dan Cina sama jahat.
“Dia juga memaparkan kekejaman pihak polis terhadap pelajar sekolah. Mustahil wujud rasisme dalam sekolah kebangsaan sebegitu rupa. Bagi kami, sekolah kebangsaan adalah satu institusi yang menyatukan pelbagai bangsa.
“Pada saya, ini adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan dan niat serta agenda Namawee harus dipersoalkan,” katanya.
Ellie ditemui selepas dia selesai membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir wakil Pertubuhan Penyatuan Ummah, Persatuan Seniman Malaysia dan Persatuan Aman Muafakat Jaya.
Dalam laporan dilihat Malaysiakini, pengadu menyebut Babi sebagai menyentuh isu perkauman melampau Melayu, Cina dan India selain dengan sengaja tidak melalui proses tapisan Lembaga Penapis Filem.
Cadang beri ruang
Untuk rekod, Babi setakat ini tercalon dalam Filem Festival Open World Toronto (kategori pengarah terbaik dan pelakon terbaik), Around International Film Festival Berlin (Filem Cereka Terbaik), Filem Festival Antarabangsa Thai 2020 dan Filem Festival Golden Horse Taipei (Best Original Film Song).
Terdahulu, Seniman membuat laporan polis atas dakwaan Namawee memalsukan dokumen sijil perakuan penggambaran (SPP) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Pada 19 Nov lalu, Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan turut membuat laporan polis terhadap penyanyi rap itu berkenaan poster filem terbarunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.
Mengulas hal berkaitan LPF, Ellie, 50, berkata pihak produksi atau Namawee sendiri juga dilihat sengaja mempromosikan filem itu seolah-olah ia telah diharamkan melalui persembahan trailer yang dimuat naik di media sosial.
Sedangkan kata Ellie, Namawee tidak memohon atau melalui proses tapisan LPF.
“Sekali lagi saya tekankan, apa agenda dia nak kata filem tu diharamkan LPF melalui persembahan trailer? Dia sendiri memilih untuk tak lalui tapisan LPF.
“Dan kenapa dia buat mengenai tiga bangsa di Malaysia tapi tak tayangkan filem tu di negara sendiri?” katanya.
Justeru, Ellie menyarankan pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998. Ia supaya siasatan menyeluruh dilaksanakan.
Pada masa sama, Ellie turut mencadangkan agar pihak industri kreatif memberi ‘ruang’ dan keadilan untuk Namawee menayangkan filemnya itu di sini sekiranya dia benar-benar ingin menegakkan perpaduan.
“Jika untuk kebaikan perpaduan bangsa, biarlah satu tayangan khas diadakan jemput PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Finas, LPF dan SKMM supaya kita jangan main persepsi.
“Kenapa pilih tayang di luar sedangkan buat filem di Malaysia pakai SPP?” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai