Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Tentang wayang Melayu dan politikus tak pernah kenyang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Bagaimanakah perasaan kita tatkala mendapati niat mulia seorang manusia disekat-sekat dengan prosedur dan label yang entah apa-apa?

Cuba bayangkan: Kisah ini adalah sebuah filem blockbuster keluaran Malaysia. Ia diarahkan oleh sutradara Melayu, diterbitkan orang India dan ditayangkan di pawagam Cina.

Babak pembukaannya ialah bingkaian gambar sebuah kedai kek yang serba tua dan lama. Tidak ada jurujual bermuka ‘miss universe’. Yang ada hanyalah wajah kedut seorang auntie India renta dimamah usia.

Auntie India itu melemparkan senyuman dari kaunter apabila pintu kedai keknya dibuka seorang lelaki Melayu yang kelihatan segak berkemeja.

“Saya mahu kek Krismas untuk kawan baik saya,” kata dia.

Kek 'luar biasa' yang mahu dibeli lelaki Melayu Islam buat teman Kristiannya itu sekarang boleh jadi suatu bahan dagang yang liar lagi bahaya bagi setengah daripada kita.

Sebagai Melayu yang selalu diajar untuk mengenang jasa serta menerima didikan Islam agar selalu mensyukuri persaudaraan daripada setiap manusia - apatah lagi apabila seorang teman ramah Cina Kristian itu tidak pernah sekali pun lupa mengucap selamat berpuasa dan selamat hari raya kepadanya - lelaki tadi tidak akan tergamak mengabaikan temannya begitu saja.

Justeru dia menempah sebuah kek strawberi yang memang diketahuinya menjadi kegemaran rakan Kristian itu.

Tambahan pula sering juga si Cina Kristian itu memberikan wang bersama beberapa jenis kuih sewaktu dia menyambut raya. Tentu saja budi dan jasa itu wajar dibalas dengan akal bahasa budi paling sempurna.

Ha, lam alif dan lam

Bagaimanapun hasrat lelaki Melayu Islam itu untuk datang dan segera pulang membawa kek yang diingininya tersangkak tiba-tiba. Kunjungan itu kemudian menjadi sesi curhat apabila auntie India itu bercerita mengenai dilemanya.

Menurut auntie itu, perniagaan kedai keknya sedang bergelut dalam suasana ekonomi yang serba menekan dan - tidak cukup dengan itu - diasak pula dengan pelbagai syarat jika dia mahu mengeluarkan wang carumannya di KWSP.

Dia kini dalam proses mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Nah, barangkali hari Natal yang tiba pada setiap 25 Disember adalah permulaan hari paling sempurna untuk dijadikan sebagai renungan menjelang ketibaan tahun baru.

Masih ada baki beberapa hari lagi sebelum 2020 menjadi masa silam dan 2021 datang sebagai detik yang baru.

Maka elok juga kita cuba menghayati makna sebenar antara haram dan halal yang jarang nak kita perhati. Iaitu tentang sesuatu yang lebih dalam daripada hanya logo bertulis ha, lam, alif dan lam yang disusun menjadi perkataan itu.

Ia dibuat agar kita dapat kembali tahu apa yang kita mahu dan apa yang kita perlu; supaya senang kita kembali kepada idea asal tentang mengapa negara ini wujud dan ditubuhkan.

Negara ini sudah terlalu banyak melahirkan graduan dari Jordan, Madinah dan al-Azhar. Boleh jadi bilangan mereka sebenarnya sudah tahap kebanjiran. Limpahan mereka dalam masyarakat sejak Revolusi Islam Iran 1979 kini mewujudkan lebih banyak perbezaan tanggapan.

Perbezaan cara mereka melihat insan, menilai situasi kemanusian dan menghakimi iman pada hujungnya jadi pegangan yang mengocak masyarakat teramai.

Justeru kita semua harus sedar. Sesungguhnya apa yang kita perlukan hari ini bukan lagi limpahan dai Jordanan, ustaz Madinahan atau ulama Azharian.

Dalam keadaan agamawan sebegitu berlimpahan, mereka tetap gagal menyelesaikan banyak pergolakan umat, malah sebahagiannya turut terjebak dalam kekalutan halal haram yang tak berkesudahan. Lebih parah kini mereka turut jadi ejen pemecah-belah umat.

Pergelutan dan perbalahan halal haram tanpa sudah itu tidak semestinya sentiasa diadili dengan fikah. Menghakimi keimanan seseorang bukan selalu akan menyelesaikan seribu satu pergelutan dan perbalahan yang kian membarahkan otak masyarakat.

Filem Melayu zaman korupsi

Masalah sebenar umat di luar sana ialah politik khianat, rasuah, salah guna kuasa, pengangguran dan kemiskinan yang nampaknya sengaja tidak mahu diselesaikan.

Di luar sana ada ramai lagi manusia yang bergelut dengan perniagaan sambil memikul beban prosedur itu ini seperti auntie India tadi. Juga ada anak muda Melayu yang terhimpit di antara hal halal dan haram dengan nilai persaudaraan sesama manusia.

Akhir-akhir ini agamawan jarang benar membantu menyelesaikan masalah umat. Mereka malah lebih bersemangat menyimbah minyak ke dalam bara ketika api masalah sedang menghangat.

Justeru apa yang kita perlukan hari ini ialah karya-karya kreatif seperti filem yang mampu meneduhkan hangat itu. Ia boleh dijadikan panduan. Seni mampu mencerahkan sisi yang gelap oleh helah agamawan tertentu.

Masyarakat hari ini perlu segera dicerahkan dengan seni, bukannya leteran atau ucapan politik berjela-jela penuh dengan selingkuh dan tipu daya. Umat negara ini tidak lagi perlukan lambakan graduan Timur Tengah yang lebih banyak rukuk kepada perintah pemimpin parti atau jawatan kerajaan berbanding firman tuhan.

Seniman dan karyawan yang cerdas serta memahami realiti pula harus sedar bahawa sumbangan mereka dalam dunia moden serba rencam hari ini sangat-sangat diperlukan.

Filem-filem Melayu zaman kartel daging haram jadah yang dah 40 tahun dibiar harus jadi pencetus revolusi pemikiran rakyat. Filem Melayu zaman korupsi yang diraikan politik arus perdana harus memberi motivasi berani untuk melawan. Filem Melayu era politik pengkhianatan harus memperkayakan semangat masyarakat untuk bangkit daripada kejahilan yang asyik meraikan ketidakadilan.

Filem hari ini harus menjadi sebahagian daripada sumber penyelesaian masalah masyarakat. Ia harus dibangunkan dari ayat 176 surah al-A'raf: “Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.”

Sudah sampai masanya sinema kita menjadi 'kitab suci' dengan satu bahasa yang mudah difahami dan menuju satu arah: bersatu padu hidup harmoni dalam bernegara.

Sekarang bukan lagi masa untuk berharap pada gerakan-gerakan politik berasaskan ras, agama atau kuasa berkepentingan waima dalam bentuk 'grand coalition' pun.

Kerana kegilaan politikus untuk berkuasa dan menguasai kita semua kelihatan seperti tidak akan pernah ada pengakhirannya.


HARIS HAUZAH merupakan seorang manusia yang bahagia melihat manusia hilang kesiumanannya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.