Skip to main
Logo Malaysiakini

Amy dendangkan Isabella untuk Siti Hasmah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Teruja dapat bertemu dengan Dr Siti Hasmah Mohamad Ali ketika di Langkawi, penyanyi rock Amy menggunakan kesempatan itu untuk mendendangkan lagu popularnya, Isabella untuk isteri bekas perdana menteri itu.

Siti Hasmah, 95, dilihat asyik menghayati lagu yang popular sejak lebih 30 tahun lalu ketika Amy - atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman - mendendangkan lagu itu di sebelahnya.

Momen tersebut turut dirakam dan dimuat naik di Instagram isteri Amy, Norhasniza Hassan.

Menurut Norhasniza, pertemuan itu berlangsung secara kebetulan.

Katanya dia dan Amy terserempak dengan isteri Dr Mahathir Mohamad itu ketika mereka berada bersarapan.

“Alhamdullilah kami dapat berjumpa Tun Dr Siti Hasmah. Tadi dia nak sangat dengar Amy nyanyi untuk dia Isabella.

“Dia cakap walaupun tak berapa nampak, dia kenal suara Amy.

“Tun pesan jaga diri C19 (Covid-19) ni memang serius. Jangan lupa basuh tangan, pakai mask. So sweet of her,” tulisnya di Instagram.

Lagu Isabella dipopularkan oleh kumpulan rock ternama, Search, yang dihasilkan oleh komposer terkenal M Nasir dan liriknya ditulis oleh Bob Lokman.

Lagu yang dihasilkan pada 1989 itu bukan sahaja menjadi fenomena di negara ini tetapi juga berjaya menembusi pasaran Indonesia ketika itu.

Hantaran yang dimuat naik semalam mendapat lebih daripada 5,000 suka.

Pada Mac lalu, Amy secara rasmi mengumumkan keluar dari Search.