Skip to main
Logo Malaysiakini

Harris Alif, Intan Ladyana pilih untuk disatukan 6 Feb depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seperti beberapa pasangan selebriti lain yang mendirikan rumah tangga ketika negara masih berdepan Covid-19, Intan Ladyana dan Harris Alif juga tidak menganggap wabak berkenaan sebagai penghalang untuk mereka disatukan sebagai suami isteri.

Memilih hari bahagia pada 6 Februari depan yang bertempat di Kuala Lumpur, pasangan berkenaan memberi jaminan majlis tersebut akan dilangsungkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.

Menurut Harris, 21, hari ini adalah hari istimewa bagi mereka untuk mengumumkan berita gembira tersebut selepas hampir setahun menyulam cinta.

“Tujuan kami adakan sidang media virtual adalah bagi mengumumkan tarikh perkahwinan kami berdua. Tarikh 6 Feb itu akan jadi tarikh yang amat bermakna untuk kami.

“Sebenarnya nak buat pada tarikh berbeza. Tapi disebabkan dah ada terlebih dulu pasangan lain adakan majlis pada tarikh tersebut, saya akhirnya dengan keluarga Intan memilih untuk melangsungkan perkahwinan pada 6 Februari depan.

“Majlis yang akan dilangsungkan nanti tetap mengikut SOP ditetapkan kerajaan, kami tak akan buat sesuatu perkara sesuka hati,” katanya dalam satu sidang media secara virtual hari ini.

Pelakon dan penyanyi itu turut mendedahkan keluarganya terlebih dulu merisik bintang Adnan Sempit itu sebulan selepas majlis ulang tahun yang ke-38 Julai tahun lalu.

“Sebenarnya, majlis merisik Intan sudah dibuat sebulan selepas ulang tahun kelahirannya Julai tahun lalu. Bagaimanapun, majlis itu dirahsiakan.

“Justeru, dengan pengumuman hari ini, maka terjawablah teka-teki mengenai status hubungan kami yang seterusnya.

“Kami cuma mahu semua mendoakan agar segala yang kami rancang sebelum ke majlis bermakna itu menjadi lancar,” katanya.

Menurut Harris, persiapan majlis sudah sekitar 95 peratus siap. Pasangan tersebut akan dinikahkan di sebuah masjid di Kuala Lumpur diikuti majlis resepsi di lokasi yang akan dimaklumkan kelak.

Istimewanya, pasangan dua sejoli itu akan diraikan dalam empat majlis yang mendapat tajaan lebih RM13.5 juta.

Acara itu termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang yang turut mendapat tajaan nama-nama besar yang lain.

Pasangan itu sebelum ini mengumumkan secara terbuka mengenai hubungan mereka tahun lalu. Jauh jarak usia 17 tahun bukan penghalang untuk kedua-duanya membawa hubungan tersebut ke jenjang pelamin.

Sementara itu, Intan, 38, berkata, dia bersyukur kerana laluan mereka untuk bersatu sebagai suami isteri setakat ini dipermudahkan.

“Kami mulakan persediaan selepas majlis merisik. Dari awal perkenalan bulan Mac lalu hingga merisik semuanya dipermudahkan, alhamdulillah.

“Kami senang nak berkomunikasi dan keluarga pula menerima dengan positif. Dari situ kami tahu hubungan ini direstui dan berada di landasan yang betul,” katanya.