Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN SENI | Selagi seniman rela menjadi punggur rebah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | “Percayalah - di Malaysia ini, politikus yang bersajak ialah politikus yang terdesak."

Begitulah bunyi ayat dalam e-mel yang dikirim kepada aku. Ternyata ayat itu memang 'berhantu' kerana sehingga hari ini ayat itu masih berlagu-lagu dalam gegendang telinga aku.

Sebagai seorang pengarang kerdil yang tak dikenali aku melalui sedikit kesempatan melihat-lihat ketinggian potensi seni daripada menggauli dunia filem dan sastera.

Aku memaksa diri memahami arena seni halus bermula dari studio kecil kawan-kawan hingga ke galeri-galeri agam yang penuh dengan arca dan lukisan.

Aku juga cuba mengekor pentas-pentas teater dan gig kumpulan itu dan ini. Pada ketika lain aku berdiam diri dan mendengar sendiri suara-suara seniman di majlis-majlis malam puisi.

Akhirnya aku sampai ke satu jalan kesimpulan: bahawa sastera adalah makanan anjing; seni ialah lorong kotor tempat seniman menyalak, dan budaya hanyalah sejarah bukti seniman adalah anjing-anjing yang kalah.

Diari 2020 ditutup baru-baru ini tanpa pementasan, persembahan atau sebarang majlis deklamasi sewajarnya jadi resensi.

Mengapa harus pada zaman teknologi serba canggih hari ini, seni pun mesti turut terkurung sepi? Mengapa perintah kawalan pergerakan yang menjarakkan fizikal manusia harus jadi sebab seni lumpuh dan nyaris mati?

Jangan terlopong mendengar janji

Tergamak seniman kita membungkam macam ulat gonggok yang berpura-pura mati.  Sedangkan orang politik mencolok mata rakyat ke sana ke sini seolah-olah hanya berseluar dalam atau berbikini tanpa rasa malu.

Semuanya rakus memenuhi tuntutan syahwat daripada perselingkuhan yang dihalalkan dengan dalil-dalil yang dimanipulasi.

Dimanakah muka dan suara para seniman?

Aku pernah terdengar - katanya Pablo Picasso yang mahsyur dengan Guernica itu ada meriwayatkan sepotong kata ini: “We all know that art is not truth. Art is a lie that makes us realize truth at least the truth that is given us to understand. The artist must know the manner whereby to convince others of the truthfulness of his lies.”

Kata-kata Picasso itu seharusnya membekas dan tertanam di dalam hati. Paling tidak seniman tidaklah berulang-ulang terbohong oleh sajak-sajak politikus yang pernah menjanjikan harapan. Dan janganlah juga melopong dengan jutaan buih-buih karut “scheme of things” kerajaan baru yang konon menjanjikan masa depan bercahaya terang.

Aku saksikan sendiri pada waktu sajak-sajak merdeka dan Palestin itu terapung-apung atas pentas saat dibacakan. Seniman-seniman lain yang menunggu giliran untuk membacakan sajak mereka dilamun keasyikan berbual dan sibuk mengunyah makan di bawah.

Sambil-sambil itu ada juga yang bertanya-tanya tentang ada atau tidaknya 'lobang-lobang' dana yang boleh diteroka untuk mengisi poket.

Galeri-galeri seni indah yang aku pergi lebih banyak mengajar tentang erti kosong dan makna sepi apabila selalunya ada lebih banyak arca dan lukisan berbanding hadirin yang ingin menghargai.

Program wacana - baik filem mahupun kesusasteraan - asyik mengulang-ulang hal-hal lapuk berkenaan identiti, jati diri, dana dan lubang-lubang masa depan. Kita diajak berkhayal dengan kisah-kisah proses balik tabir apa yang memberi inspirasi. Ia jadi semacam kontraktor mengajar kaedah membancuh simen dan mengikat batu yang tetap memerlukan dana bantuan.

Mengharap YB jadi penyeri

Tiada polemik yang lebih sensasi daripada siapa penulis buku paling laris dan pengarah filem paling banyak kali pecah panggung. Isu cetak rompak, royalti penulis dan gaji pekerja filem masih berulang-ulang dalam wacana yang makin membuat kita meluat.

Pengharaman buku tanpa alasan munasabah juga tidak pernah membuat seniman bersuara membela. Tiada Sasterawan Negara selain A Samad Said yang selalu melupakan perlawanan terhadap usianya untuk berdiri dan bersuara.

Janganlah diharap akan ada pendukung persuratan dari mana-mana persatuan penulis berani menyuarakan ketidakadilan kerajaan pada seniman dan kesenian.

Kalau ada pun, ia penuh dengan kiasan dan kelunakan yang membuat kita berasa mengantuk tiba-tiba.

Keriuhan dunia filem pula hanya berkisar pada festival filem dan misi Oscar. Memang sesekali hebohlah sekejap berkenaan kartel perfileman mendapatkan dana-dana kerajaan. Selebihnya hanyalah cebis-cebis pertengkaran antara pengarah dan pengkritik filem tentang siapa lebih bijak dan pintar.

Hal-hal ini tak pernah dianggap permasalahan selama puluhan tahun. Sepanjang 2020 - sewaktu bencana turun - seni kita terus karam dan hanyut.

Seniman kita tetap hanya reti mengais-ngais rezeki di depan orang politik dan kemudian menanti dana daripada menteri. Kemudian berharap-harap agar 2021 ini akan ada seorang dua YB sudi turun mencemar diri masing-masing untuk bersajak bersama mereka nanti.

Seniman kita lupa pada kata seorang penulis dan novelis Jerzy Kosinski yang mati membunuh diri. Katanya: “Prinsip seni yang paling sejati bukanlah menggambarkan, akan tetapi untuk membangkitkan.”

Seniman kita ialah si pengecut yang membiarkan masyarakatnya turut sama kecut perut hidup menelan rasa takut. Seniman kita lebih gemar mengawan berbanding melawan.

Akibat sibuk meminta untuk didanai akhirnya seniman kita jadi patah tangan, reput kaki dan seni kita akhirnya terdampar lumpuh dan menunggu masa untuk mati.

Jangan harap seni boleh menjadi seni selagi senimannya berteduh di bawah payung orang politik atau parti. Selagi seniman kita menyorok di bawah masin ketiak politikus, selagi seniman kita bungkam menunggu dan menunggu untuk mendapatkan dedak, seni kita tidak akan pergi ke mana-mana.

“Percayalah - di Malaysia ini politikus yang bersajak ialah politikus yang terdesak”.

Selagi senimannya memilih jadi punggur rebah, belatuk menumpang mati. Tidak akan ada apa-apa lagi yang tinggal pada seni, sastera dan budaya negara ini.

Pergi mati dengan seni. Bersiap saja jadi masyarakat pencandu korupsi, pendamba ketengikan demokrasi yang ditipu dan diperbodoh setiap hari. Sebab seni dah tak berfungsi lagi.


HARIS HAUZAH ialah seorang buruh kasar yang perasan saintis berjiwa seni.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.