Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Politik yang tenat, Adik Manja yang pintar

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Sekali lagi ditegaskan: sudah tiba masanya untuk filem-filem Melayu kembali kepada seni yang mendidik diri. Filem Melayu harus menjadi sekolah dan madrasah sekali gus.

Sudah-sudahlah Melayu dengan keasyikan berlawak mega di tivi dan juruhebah di stesen-stesen radio pula berlawak untuk kemudian diketawakan hanya oleh mereka sendiri.

Pada masa sama pemikiran orang ramai kekal mundur, bebal dan bendul.

Di luar sana ada amaran cuaca buruk di beberapa negeri. Kesan bah yang sudah berapa hari menenggelamkan banyak daerah masih belum kebah. Urusan vaksin kita pun antara yang paling lewat dan perlahan berjalan.

Tapi politikus yang tua-tua itu mula merengek minta diundi lagi. Ada antaranya yang merungut mahukan PRU. Di sana sini ada yang mula meronta-ronta meminta kerusi.

Tahun 2021 yang berbaki 11 bulan ini mungkin akan dikenang sebagai tahun penuh laknat. Seperti 2020, tahun ini turut dimulai dengan episod politik mengkhianat. Tahun yang dimulakan dengan PKP ketika suasana politik orang tertentu berada dalam keadaan tenat dan darurat.

Beberapa siri komedi pemimpin mengkhianati janji memperbodohkan kawan sudah memang tidak dapat disembunyikan. Islam atau tidak, si politikus tua itu enggan peduli.

Asal kekalahan pada PRU dulu dapat ditebus, atau bebas daripada ketakutan bayangan penjara - apa saja akan dilakukan.

Tetap enggan peduli

Sudah dikatakan tadi, orang Melayu memang tidak pandai politik. Orang Melayu malas membaca, apa lagi menimbang dan memahami situasi. Melayu culas mengambil jalan tengah dalam permasalahan negara dan politik.

Orang Melayu hanya tahu mengundi apabila disua-sua dengan logo parti pada bungkusan beras dan tepung ubi. Orang Melayu tidak tahu perbezaan koruptor dan korupsi.

Melayu hanya mengundi sebab politikus itu Melayu. Mereka tidak mampu memahami politik bengap dan politik keji. Asalkan Islam, Melayu akan pangkah mereka. Melayu tidak tahu apa makna maruah dan apa erti integriti. Apatah lagi memahami tentang strategi politik jahat dan taktik kotor politik.

Perkara ini ada kaitannya dengan seni, kerana - barangkali sudah ditakdirkan - orang Melayu gila berlawak tapi tidak tahu apa itu komedi.

Sembilan hari pertama tahun ini dimulakan dengan 71 kematian kerana Covid-19. Sementara itu kes baru terus mencanak tinggi saban hari. Politikus Melayu yang ada itu tetap enggan peduli.

Politikus kesayangan orang Melayu itu bahkan sibuk melakar khianat sesama sendiri. Rakyat: Lantaklah. Biarkan rakyat menjaga diri dan kebajikan sendiri. Atas daripada itu politikus menghadiahkan kita dengan darurat dan PKP.

Sama ada darurat ini memang kerana Covid-19 atau kerana ada orang yang ketakutan kerana sudah hilang sokongan majoriti di parlimen, orang Melayu takkan mahu mendalami.

Kerana orang Melayu semuanya cuma pemarut kelapa, tiada PhD dan tak bersekolah tinggi.

Sarat dengan potensi

Dalam dunia politik kita ini sememangnya ramai yang menyamar. Ada ramai Abu Jahal yang menyamar wali dan Abu Lahab yang dilantik jadi menteri.

Lebai dan tuan haji yang hanyut dengan gelaran pewaris nabi pun bersepah mengipas sesama sendiri. Kemudian mereeka menjilat-jilat kesedapan habuan dalam GLC.

Jeffrey H Goldstein dan Paul E McGhee dalam buku The Psychology of Humour pernah menjelaskan sifat-sifat jenaka dan komedi dalam sesuatu bangsa. Mereka memperincikan bahawa komedi adalah bayangan kecerdikan dan cerminan ketamadunan bangsa.

Menurut mereka lagi, komedi berupaya memperlihat dan menonjolkan ketinggian - atau kerendahan - aspek moral sesuatu bangsa. Dalam kata lain, komedi adalah alat untuk mencerdikkan pemikiran manusia.

Ada satu contoh filem komedi yang menepati ciri-ciri yang disebutkan Goldstein dan McGhee. Malah filem yang terbit pada 1980 itu tidak sekadar memberi humor yang ada seni komedi. Bahkan padanya ada pendidikan dan kecerdikan yang memfungsikan filem sebagai sekolah dan madrasah.

Filem sulung arahan Othman Hafsham itu berjudul Adik Manja. Ia sememangnya filem komedi yang sarat dengan potensi.

Adik Manja di tangan Othman Hafsham berjaya mengeksploitasi genre komedi dalam membawakan tema yang penting dan besar seperti pendidikan serta hak asasi.

Watak-watak seperti Cikgu Bedah, Cikgu Sharina dan Cikgu Azmi, Sofea, Yati serta Zaiton dijadikan kenderaan buat penonton menelusuri jalan isu pendidikan di Institut Sri Ilmu.

Adik Manja tidak hanya cuba membentangkan isu falsafah pendidikan. Metadologi pengajaran yang cuba filem ini angkatkan adalah sesuatu yang sangat terkehadapan dan merentas zaman.

Corak pengajaran dan pembelajaran yang dibawa Cikgu Azmi bukan sesuatu yang biasa kita lihat pada zaman itu. Mempelajari sains melalui pengalaman sendiri adalah silibus moden hari ini. 

Melihat Cikgu Azmi menggalakkan pelajar menghasilkan bahan solek seperti bedak muka buatan sendiri demi kecantikan diri tentunya suatu falsafah pendidikan yang tinggi.

Bayangkan filem Adik Manja sekitar 40 tahun dulu sudah memperjuangkan pendidikan seks, telah mengetengahkan isu-isu taboo dalam dunia pendidikan dengan memberikan sedikit suara kepada hal-hal hak asasi.

Cikgu Bedah adalah gambaran ikonik kumpulan konservatif yang selalu terperangkap untuk mempertahankan kuasa serta keselesaan pegangan kepercayaan sendiri.

Adik Manja adalah sebuah filem berbeza yang menarik kerana ia cuba menyingkap sisi gelap masyarakatnya sendiri dengan sengaja meletakkan latar sekolah sebagai suatu tawaran solusi.

Segala kepincangan politik dalam sistem masyarakat, dalam ekosistem pendidikan, kejahatan politik yang menstrukturkan pemikiran dan kepercayaan masyarakat sehingga menjadi dangkal, dihuraikan Adik Manja dengan bersahaja.

Ia dipersiapkan dengan sederhana kerana Adik Manja memang sebuah filem komedi. Justeru ia menjadi begitu dan sudah memadai. Kerana itulah yang dipanggil seni mendidik diri yang wajib menjadi tempat filem-filem kita kunjungi dan diami kembali.


HARIS HAUZAH ialah pemarut kelapa yang siangnya menjadi komedian dan malamnya seorang politisyen.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.