Skip to main
Logo Malaysiakini

Mawar Karim seru ibu-ibu sentiasa kuat jika anak positif Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Bekas isteri pelakon Fizo Omar, Mawar Abdul Karim mengesahkan malam tadi dia dan anaknya, Wan Maryam sudah bebas wabak Covid-19 selepas menjalani rawatan dan kuarantin di sebuah hospital baru-baru ini.

Melalui perkongsian di Instagram, Mawar turut menitipkan pesanan buat ibu-ibu di luar sana agar sentiasa positif sekiranya diuji dugaan dijangkiti wabak berkenaan.

“Saya fikir apa yang berlaku pasti ada hikmah. Saya nak kongsikan pengalaman pembedahan endometriosis (penyakit melibatkan organ wanita) dan sewaktu dengannya sebelum ada Maryam di dunia, itulah paling sakit rasa mati hidup semula.

“Baru rasa Allah bagi peluang kedua hidup semula. Lepas itu sakit bersalin. (Justeru) ibu-ibu di luar sana... jangan rasa putus asa bila dapat keputusan positif.

“Saya percaya ibu-ibu pasti boleh tangani. Insya-Allah kekuatan itu pada ada. Come on ibu-ibu, kita kuat. Insya-Allah pastikan kita sentiasa positif bila uruskan Covid-19 ini,” katanya.

 Mawar juga berterima kasih kerana urusannya di hospital dipermudahkan dengan adanya bantuan petugas barisan depan.

Fizo memaklumkan Mawar dan anak mereka, Wan Maryam disahkan positif Covid-19, pada 1 Jan lalu.

Pada masa sama, Mawar turut menceritakan bagaimana pertama kali dia menyedari mempunyai gejala Covid-19.

Kata Mawar, semua bermula selepas dia tiba-tiba mengalami demam menjelang tahun baru.

“Cheq (saya) dah rasa demam selepas empat tahun tak demam. Alhamdulillah. Di situlah bermulanya.

“Mula-mula ingat demam biasa, Maryam pun tiada simptom, hanya demam, itu pun waktu dah nak admit (dimasukkan ke hospital).

“Saya pula tak tau nak habaq lagu mana, lain orang, lain rasa. Bila rasa sesak nafas, sakit kepala, sekali gus datang sampai otak rasa biul tapi masih boleh kawal,” katanya dalam loghat Kedah.

Dalam entri tersebut, Mawar turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang mendoakan dirinya dan juga anaknya, serta memberikan kata-kata semangat.

“Terima kasih kepada kalian semua yang sentiasa mendoakan double m (merujuk gelaran dia dan Maryam) dan keluarga saya.

“Saya rasa terharu dengan doa kalian yang banyak memberi semangat kepada saya dan keluarga. Walaupun mungkin kita tak pernah kenal atau berjumpa.

“Semoga kita dalam keadaan yang baik untuk permulaan yang baik untuk 2021,” katanya.