Skip to main
Logo Malaysiakini

Nubhan yakin kerjasama dengan Siti Nordiana tak gugat rumah tangga

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Meskipun berstatus suami orang, penyanyi Nubhan tidak melihat kolaborasinya dengan Siti Nordiana untuk projek duet mereka akan mengundang masalah buat rumah tangganya.

Selain berikrar untuk bersikap profesional, Nubhan berkata, kerjasama yang dijalinkan dengan Siti Nordiana itu juga mendapat lampu hijau daripada isterinya, Dr Afiffah Hidayah Ahmad Tawfek.

Tambahan pula, kata Nubhan, dia dan Siti Nordiana sudah lama berkawan.

“Apabila masuk bab berkarya saya akan jadi profesional dan isteri saya setakat ni tak ada masalah dengan hal itu sebab kami dah mengenali satu sama lain hampir 10 tahun.

“Isteri dengan Nana (panggilan lain untuk Siti Nordiana) juga berkawan baik.

“Cuma saya faham, peminat biasanya suka penyanyi yang bergandingan tu solo dengan solo supaya mereka boleh 'kenen-kenenkan' kedua-duanya dengan cerita cinta,” katanya.

Nubhan menikahi Afifah pada 29 Ogos 2015. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua anak - Aafiya Kamilia, 3 tahun; dan Ahmad Ahmad Aaffan, 2.

Pemilik nama penuh Ahmad Nubhan Ahamad, 34, itu berkata demikian pada sidang media secara maya sempena pelancaran single dan video muzik Sekali Lagi Siti Nordiana dan Nubhan di Petaling Jaya hari ini.

Sekali Lagi adalah karya ciptaan Siti Nordiana dan Sepet. Tayangan rasmi video muzik lagu itu akan dilancarkan secara rasmi pada malam ini.

Penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi rancangan realiti Akademi Fantasia musim keenam itu juga bersyukur kerana mendapat isteri yang memahami kariernya sebagai anak seni.

“Malahan isteri saya terbabit sebagai pelakon tambahan dalam video muzik Sekali Lagi ni dan dia banyak bagi sokongan serta jadi pengkritik hebat idea kami,” katanya.

Sementara itu, Siti Nordiana berkata, dia sering menjaga batas hubungan setiap kali bergandingan dengan mana-mana artis lelaki sekalipun.

Justeru, katanya, dia tidak mempunyai masalah untuk menjalin kerjasama dengan suami orang.

“Sebelum ni pun, saya pernah bergandingan dengan penyanyi lelaki yang sudah berkahwin iaitu Alif Satar.

“Saya rasa tak ada masalah untuk berganding dengan Nubhan kerana kami masing-masing saling mengenali.

“Saya juga tahu batas antara kami dan anggap dah macam adik-beradik,” katanya.