Skip to main
Logo Malaysiakini

Aeril positif Covid-19 lepas bantu pengurus yang demam

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Aeril Zafrel mendedahkan dia mengetahui dijangkiti Covid-19 selepas menguruskan pengurusnya - merangkap pembantunya - yang mengalami demam pada 18 Jan lalu.

Melalui satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram hari ini, pelakon Cari Aku Di Syurga itu mengesahkan dia menerima keputusan ujian calitan itu malam tadi.

“Assalammualaikum. Malam tadi aku mendapat perkhabaran aku positif Covid-19. Hari Isnin aku pergi ke rumah pengurus merangkap pembantu aku sebab dia demam.

“Aku pergi ke sana sebab pada kebiasaannya, aku juga yang akan jaga dia kalau dia sakit teruk sebelum ni. Hari dah lewat, justeru, aku ambil keputusan untuk tidur di sana,” katanya.

Aeril menjelaskan apabila siang dia membawa pengurusnya itu ke klinik dan mereka berdua menjalankan ujian polymerase chain reaction (PCR).

Selepas itu katanya dia memberikan taklimat kepada pekerjanya sebagai persediaan untuk pelancaran produk secara dalam talian pada hujung bulan ini sebelum terus kembali ke rumahnya.

“Rabu (malam) keputusan keluar, aku dan pengurus positif,” katanya sambil mengiringi hantaran itu dengan emoji berwajah sedih.

Selepas mengetahui berita tersebut, Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 32, berkata ujian saringan turut dijalankan ke atas ahli keluarga dan pekerjanya.

“Sekarang aku sedang kuarantin kendiri di bilik atas. Nak isi masa 10 hari ni dengan macam-macam aktiviti kat bilik.

“Doakan ya. Sekarang pengurus aku dah kembali pulih dan tak demam lagi,” katanya.

Selain Aeril, beberapa selebriti tempatan juga pernah atau sedang dirawat akibat positif Covid-19. Antaranya Emma Maembong, Alif Satar, Aepul (Drama Band), Ashraf Muslim dan Puteri Aishah.