Skip to main
Logo Malaysiakini

Keith Foo buang tatu untuk nampak 'bersih'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Tiada mana-mana pihak paksa saya,” demikian kata Keith Foo apabila ditanya berhubung niatnya untuk menghapuskan tatu yang dicacah pada beberapa bahagian badannya.

Menurut pelakon terbabit dia mengambil keputusan berkenaan kerana berpendapat tidak sesuai untuknya mengekalkan tatu tersebut semasa berlakon dalam drama tempatan.

“Memang kehendak sendiri sebab saya nak kelihatan ‘bersih’ apabila menjalani mana-mana penggambaran.

"Saya tak mahu tatu yang ada mengekang karier lakonan saya,” katanya.

Untuk rekod, Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chin itu mula memiliki tatu sejak berusia 18 tahun. Dia kemudian mula menjalani proses menghapuskan tatu tersebut 18 tahun kemudian.

Keith, 38, juga - melalui media sosial - sebelum ini berkata, dia tidak pernah menyesal memiliki tatu, cuma berasa sudah sampai masanya dia membuang perwarna dakwat kekal di atas kulit itu.

Menurut pelakon Love You Mr Arrogant itu, seboleh-bolehnya dia enggan menyusahkan mana-mana produksi apabila melakonkan sesuatu adegan. Misalnya yang memerlukannya untuk bersalaman.

“Bila nak buat babak bersalaman nanti nampak tatu pada pergelangan tangan, atau jika ada adegan yang memerlukan saya buka baju.

"Alamak… kantoi nampak tatu. Jika tak buang, produksi perlu sembunyikan dengan alat atau bahan lain pula,” katanya yang selalu membawa watak lelaki Muslim.

Berkongsi kisah pengalamannya membuang tatu, Keith berkata, rasanya mungkin seperti mengalami kulit terbakar.

“Laser akan keluarkan pigmen tatu dari kulit hingga ia tidak kelihatan seperti sebelumnya.

“Tapi tak boleh nak buang sekali semua dalam satu hari. Kena buat selapis-selapis. Setakat ni ada 80 peratus lagi masih perlu dibuang,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan menambah lagi tatu di badan selepas ini, Keith berkata: “Tidak sama sekali, nak berlakon pun senang.”