Skip to main
Logo Malaysiakini

Aktres India bunuh diri lepas mengaku alami kemurungan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon filem India, Jayashree Ramaiah, disahkan mati akibat membunuh diri di kediamannya di Bengaluru, semalam.

Menurut pegawai polis, tubuh aktres yang juga model itu ditemui dalam sebuah bilik di kediamannya.

Jayashree yang namanya mula dikenali selepas menyertai Big Boss Kannada musim ketiga mula mendedahkan hasratnya untuk membunuh diri pada 22 Julai tahun lalu.

Dia menyatakan rancangannya itu melalui Facebook.

“Cukuplah. Selamat tinggal dunia dan kemurungan,” katanya.

Bagaimanapun, hantaran pelakon berusia 30 tahun tersebut dipadam selepas ia mengundang perhatian umum dan kemudian diganti dengan kapsyen: “Saya baik-baik saja dan selamat. Sayang kamu semua.”

Tiga hari selepas itu - atau tarikh tepatnya 25 Julai - dalam sesi secara langsung di Facebook, Jayashree menyebut tentang kehidupannya yang disifatkan semakin malap.

“Saya tak buat semua ni untuk mendapatkan publisiti. Saya hanya menunggu kematian kerana saya tidak mampu lagi mengatasi kemurungan ni.

“Dari segi kewangan saya stabil tetapi tidak kalau kemurungan. Saya sudah melalui banyak masalah peribadi. Saya dah dikhianati sejak kecil dan tak mampu untuk melupakan semua itu,” katanya.

Jayashree pernah membuat kemunculan melalui filem Uppu Huli Khara arahan Imran Sardhariya. Ia ditayangkan pada 2017 dan turut dibintangi Malasri.

Selain itu, dia juga pernah menjayakan filem berjudul Black yang diarahkan oleh Mahendra.

Sekiranya anda merasa tertekan, mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri atau mengenali seseorang yang sedemikian, anda boleh menghubungi Befrienders untuk mendapatkan bantuan dengan mengikuti langkah di laman web https://www.befrienders.org.my/

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah membuat talian sokongan psikososial untuk pekerja barisan hadapan dan orang lain yang secara emosional terjejas oleh wabak Covid-19.

Talian itu boleh dihubungi di 011-63996482, 011-63994236 atau 03-9359935, dari jam 8 pagi hingga 5 petang.