Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Khayalan ketika Muhyiddin melambaikan tangannya di Maeps

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Seni sering lahir dari rahim ketidakpuasan hati manusia yang keresahan. Goncangan perasaan dan getaran jiwa manusia terhadap penipuan, pembodohan, kesengsaraan dan penindasan kemudian dilahirkan menjadi nashkah-nashkah seni.

Ada tiga alasan mengapa tulisan ini disiapkan. Pertama kerana terpampangnya gambar Muhyiddin Yassin di pusat kuarantin risiko rendah Covid-19 di Maeps, Serdang tempoh hari ketularan.

Kedua kerana keyakinan Azmin Ali bahawa darurat politik itu tidak akan sedikitpun menjejaskan perdagangan dan pelaburan, manakala yang ketiga kerana tulisan ini sangat terinspirasi dengan hujah-hujah Plato dalam karya agungnya, The Republic.

Dalam kitab yang sarat dengan syarah panjang tentang pelbagai hal itu Plato mengatakan: “Seni meniru objek dan peristiwa daripada kehidupan biasa. Dengan kata lain, karya seni merupakan salinan kepada suatu bentuk. Ia lebih merupakan ilusi daripada pengalaman biasa. Berdasarkan teori ini, karya seni adalah hiburan terbaik, dan khayalan berbahaya paling teruk."

Melalui The Republic, Plato membentangkan nilai-nilai seni yang baik dan ada kelas yang sekaligus menawarkan pembaikan jiwa dalam sistem sosial.

Plato menganggap kesenian adalah bahagian daripada cabang besar falsafah yang bukan saja harus didekati dan digauli secara falsafah. Malah kesenian itu sendiri memiliki falsafanya yang tersendiri.

Ingat: Seni adalah kerja peniruan, sementara politik merupakan realiti yang penuh dengan penipuan dan pengkhianatan. Justeru tiada salahnya apabila momen Muhyiddin di Maeps itu ditiru dan digabungkan dengan kata-kata Azmin sebagai suara latar dalam babak khayalan.

Namun perlu disedari seni hari ini sebenarnya sudah telah teruk diinjak dan dikalahkan, atau paling tidak pun, dijinakkan. Maka ada kerakusan besar daripada sesetengah pihak yang mahu seni diinstitusikan.

Kemudian seni pun dihukum dan sentiasa terkurung dengan hal-hal penguatkuasaan. Justeru ada pelbagai badan yang menjadi pengawas, seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).

Melawan dasar yang songsang

Bahkan ia ternyata mengecilkan gagasan besar kefalsafahan yang ada pada seni apabila masing-masing berebut untuk menjadi badan yang berkuasa ke atasnya. Entah kerana apa pun kita tidak tahu.

Mungkin kerana dengan kuasa yang ada mereka boleh menjadi ranggi ke sana sini dan boleh pula mengintai kedudukan dalam parti politik.

Memanglah perangai sebegitu pun suatu bentuk seni, tetapi ia tidak pernah memenangkan seni yang murni sebaliknya hanya menguntungkan politikus, parti politik dan penggila jawatan itu saja.

Apa kaitannya semua ini dengan seni? Kaitanya begini: Kerana kerenah itulah seni menjadi sesuatu yang sangat bodoh, lembam dan bosan, sama seperti politik kepartian.

Sebaliknya Plato enggan membiarkan masyarakat menjadi mangsa kepada politik jahat dan hiburan murahan. Oleh itu dia sangat mementingkan fungsi kesenian terhadap pembangunan insan.

Bagi Plato seni tidak wajar hanya dijadikan sebagai sumber keseronokkan, tetapi ia seharusnya menjadi pencerah yang merangsang tunas revolusi pemikiran terhadap kesedaran tertentu seperti perlawanan menentang ketidakadilan, polisi dan dasar songsang kerajaan.

Bersandar pada semangat itulah maka tulisan cuba membayangkan babak Muhyiddin melawat dan melambai-lambai pesakit Covid-19 itu dengan dilatari suara Azmin: “Pelaksanaan darurat terhad sebelum ini - seperti di kawasan parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah - terbukti tidak menjejaskan keyakinan pelabur untuk melabur di Malaysia. Justeru, perisytiharan darurat di seluruh negara Selasa lalu, akan memberikan keyakinan kepada pelabur asing.”

Tidak cukup dengan itu Azmin berkata lagi: “Pelabur semakin yakin bahawa Malaysia berjaya menangani penularan Covid-19 secara bertanggungjawab dan kita akan meneruskan usaha ini. Apabila kita dapat melandaikan keluk Covid-19, ekonomi negara akan pulih dengan lebih cepat. Jika panjang lagi masanya, lagi besar (usaha untuk memulihkan ekonomi). Itu sebabnya kita memerlukan situasi di mana ordinan (darurat) telah diperkenankan.”

Bayangkan juga, babak itu kemudian menjadi meriah dengan tepukan, jeritan dan suara sorakan penyokong Muhyiddin serta Azmin.

Seperti yang telah ditekankan dari awal tadi, filem adalah cabang seni dan seni boleh menjadi senjata ampuh untuk mengangkat nilai pesanan. Menerusi penggunaan ilmu sinematik, elemen mise en scene terhadap apa saja yang diletak sebagai latar - ruang, karekter, suara, komposisi, gerak kamera, dialog, kostum, cahaya dan props keseluruhannya - akan mengangkat simbol dan perlambangan.

Segalanya menjadi denotasi (petanda) dan konotasi (penanda) yang akan memberikan kesan kepada mitos, iaitu kepercayaan masyarakat. Melalui semiotik inilah makna-makna pada lapis cerita dapat diketahui dan akan lebih mudah dicerap.

Kembali kepada momen di Maeps itu. Ia kuat tertumpu kepada sumber segala permasalahan, iaitu politik dan kemelut kuasa yang dimulai watak utama iaitu Muhyiddin. Hal itu terlihat jelas melalui perhatian yang diberikan oleh watak-watak di sekeliling ketika Muhyiddin melambai tangan.

Sebab dan akibat yang menjadi subjek konflik pula ialah apa yang berada di hadapan Muhyiddin - iaitu objek di sebalik cermin - dengan gambaran imejan yang tiada kekuatan atau kestabilan. Limitasi pencahayaan dengan isi ruang yang sendat memperlihatkan kemelaratan dan mengharapkan pertolongan.

Dalam filem, cermin adalah estetika sinematik yang kaya pengertian dan mewah dengan pemaknaan. Ia boleh saja menjadi refleksi tentang kekuatan dan kekuasaan karektor yang sengaja mahu ditonjolkan.

Cermin boleh jadi penegasan terhadap subjek dan objek yang dikaitkan apabila hubungan antara watak dalam babak pada momen itu - tanpa sedar - menimbulkan banyak persoalan tentang kepalsuan, narsisisme, ketakutan, kecelaruan, kesunyian dan keterasingan yang sedang mengkhayalkan.

Apa pun, yang paling tidak dapat dilupakan selepas mengkhayalkan momen itu sebagai babak pastinya dialog yang diungkapkan oleh suara Azmin sebagai latar.

Hal itu kerana ia jelas merupakan suatu unsur antirealiti yang menidakkan kebenaran.

Dalam situasi genting kerana banyak perniagaan yang beroperasi lembab atau terpaksa dihentikan, pelabur asing pula mula menutup kilang untuk berpindah ke negara luar, ada suara pemimpin yang masih mahu sembang kencang kononnya merekalah penyelamat paling benar dan utusan pembawa kemenangan.

Walhal seni mentafsir semua momen itu tidak lebih sekadar kebebalan dan penipuan yang menakutkan.


HARIS HAUZAH ialah seorang penulis yang membenci penulis.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.