Skip to main
Logo Malaysiakini

Komik web Fatah dan Farah cuba angkat isu prejudis kaum

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Novelis Faisal Tehrani dan pelukis komik Arif Rafhan Othman tampil bekerjasama dalam projek

untuk mengupas isu identiti budaya dan kaum melalui komik web Fatah dan Farah.

Fatah dan Farah mengisahkan adik-beradik kembar terpisah yang harus mengenali satu sama lain untuk pembahagian harta setelah kematian ibu mereka.

Dalam perjalanan mereka untuk mengenali satu sama lain, mereka juga mengembara ke seluruh negara untuk mengenali asal-usul dan budaya masyarakat Malaysia dengan lebih dekat.

 Menurut Faisal Tehrani, kolaborasi bersama Arif Rafhan itu bertujuan untuk mengetengahkan dialog tentang identiti kaum, budaya, gender dan status masyarakat Malaysia, terutama sekali golongan belia.

“Fatah dan Farah bercita-cita besar untuk mengupas aneka macam jati diri manusia dan berusaha memahami mereka.

“Bila saya katakan untuk memahami bukanlah bererti untuk memenangi atau memerangi mereka (tetapi) kita hanya mahu faham setiap perbezaan supaya tidak melakukan diskriminasi atau kekerasan.

“Ia adalah mengenai dialog yang sukar sekali kita lakukan mutakhir ini ekoran kefanatikan kita kepada pegangan tertentu termasuk pegangan agama, budaya mahupun politik. Padahal orang Malaysia lebih baik dari semua itu,” katanya kepada Malaysiakini.

Faisal Tehrani

Komik web terbitan Projek Dialog sepanjang 60 episod itu disiarkan di media sosial seperti Instagram, Twitter dan Facebook tiga kali seminggu.

Faisal bertanggungjawab untuk menulis teks dan sketsa sebelum diserahkan kepada Arif untuk meghidupkan melalui bentuk komik.

Novelis tersohor itu juga berkata dialog mengenai isu jati diri yang dibangkitkan dalam webkomik itu ingin menyedarkan golongan belia tentang masalah prejudis perkauman di negara.

“Kami mahu belia yang kami sasarkan bangun dari tidur dan melihat masalah sedia ada ini.

“Kami mahu mereka yang sudah sedar dari lena menjadi pemimpin di kala pemimpin yang kita letakkan di persada gagal melaksanakan tugas mereka.

“Lima puluh tahun lagi generasi yang membaca Fatah dan Farah akan mengerti apa itu dialog, dan bersyukur mereka tidak lagi terlena atau terlantar tanpa sebarang kefahaman,” jelasnya.

Sementara itu, Arif Rafhan berkata kerjasama bersama Faisal Tehrani mencerminkan jalan cerita yang mengangkat nilai toleransi dalam masyarakat yang meraikan perbezaan.

“Dengan gabungan kerjasama kami, Faisal dan saya belajar tentang apa itu kompromi dalam bekerja, berkarya dan itu juga tercermin kepada jalan cerita yang kami cuba sampaikan.

“Ia tentang toleransi, menerima ideologi masing-masing dengan minda yang terbuka dan meraikan perbezaan sebagai rakyat Malaysia,” katanya kepada Malaysiakini.

Arif Rafhan Othman 

Arif juga berkata komik web itu merupakan pendedahan kepada pembaca tentang arena penulisan yang baru dan berbeza dari medium tradisional seperti novel.

“Satu situasi menang-menang bagi kami,” katanya.