Skip to main
Logo Malaysiakini

India benar pawagam beroperasi 100 peratus

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Kementerian Penerangan dan Penyiaran India akan membenarkan pawagam di negara itu beroperasi 100 peratus mulai 1 Feb ini.

Sebelum ini, India hanya membenarkan 50 peratus operasi panggung wayang dengan mengehadkan pengunjung serta jadual tayangan sejak 20 Oktober 2020 lalu.

“Aturan tempat duduk dalam auditorium pawagam/ teater akan dibenarkan 100 peratus,” kata kenyataan kementerian itu pada 30 Jan, lapor Variety.

Pada pertengahan Mac tahun lalu, hampir 10,000 panggung wayang di India diarah tutup berikutan penularan wabak Covid-19.

Selain itu, kementerian penyiaran India turut menyenaraikan beberapa prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 di pawagam.

Antaranya, penjarakan fizikal di luar panggung wayang harus dilakukan serta mewajibkan penggunaan pelitup muka adalah wajib.

Malah, pemeriksaan suhu terhadap kakitangan dan pelawat juga perlu dilakukan serta proses sanitasi yang kerap di seluruh premis.

“Tempahan tiket secara dalam talian juga digalakkan serta kemudahan pembersihan sanitasi tangan perlu disediakan,” katanya.

Setakat 30 Jan lalu, India mencatatkan jumlah harian Covid-19 sebanyak 13,044 kes, menyaksikan jumah keseluruhan pesakit Covid-19 di negara itu kini sebanyak 10.7 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif pawagam di India, Inox, Alok Tandon menyambut baik hasrat kerajaannya.

Jelas Tondon, usaha itu akan membantu industri perfileman di India untuk terus maju selepas terkesan akibat Covid-19.

“Ini akan meredakan kegusaran pihak produser dan kru penggambaran, yang sekarang mungkin sudah mengumumkan tarikh pengeluaran filem mereka.

“Kami berterima kasih kepada kerajaan (India) dan gembira dengan pengumuman SOP tersebut,” katanya lagi seperti dipetik Variety. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.