Skip to main
Logo Malaysiakini

Finas harap MKN izin penggambaran di premis tertutup

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mempertimbangkan kebenaran untuk aktiviti penggambaran dalam premis tertutup buat industri penerbitan kandungan kreatif.

Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid, berkata, agensi kerajaan itu telah menghantar kertas cadangan SOP penggambaran dalam studio kepada MKN melalui bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

“Kenyataan ini merujuk pada sidang media oleh Menteri Kanan (Kluster Keamanan) Ismail Sabri Yaakob hari ini yang mengumumkan bahawa pelaksanaan PKP 2.0 dilanjutkan sehingga 18 Februari depan di seluruh negara kecuali Sarawak.

“Untuk makluman seawal pelaksanaan PKP 2.0, Finas mengambil langkah proaktif dengan memohon pertimbangan daripada MKN untuk memberikan kelonggaran dan membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP demi memastikan ekonomi industri kreatif tidak terjejas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Jurey Latiff Rosli merayu kerajaan mempertimbangkan kebenaran kerana tiada aktiviti pengambaran dapat dijalankan sehingga menjejaskan pendapatan kepada pekerja di belakang tabir dan pelakon.

Keadaan itu katanya, turut membuatkan syarikat penerbitan mengalami kerugian akibat kos penerbitan meningkat kerana pembatalan pengambaran. 

Bagaimanapun kata Zakaria, MKN setakat ini masih belum memberi sebarang respons berkaitan permohonan tersebut.

“KKMM dan Finas hingga kini masih belum menerima apa apa maklum balas daripada pihak MKN. Seperti sedia maklum, industri kreatif tanah air digerakkan oleh penggiat industri yang bersifat “freelance.”

“Tentunya, pelaksanaan PKP 2.0 sejak 13 Januari lalu memberi impak kepada sumber pendapatan mereka berikutan aktiviti penggambaran yang tidak dibenarkan.

“Lebih-lebih lagi pelanjutan tempoh PKP 2.0 hingga 18 Februari ini akan memberi kesan yang lebih buruk dan menjejaskan pendapatan mereka serta berupaya melumpuhkan ekonomi industri kreatif tempatan sekiranya aktiviti penggambaran masih tidak dibenarkan beroperasi,” katanya.

Kebenaran tersebut dimohon bagi aktiviti penggambaran dijalankan dalam premis tertutup (indoor shoot) dan studio merangkumi drama, telefilem, livestreaming, dokumentari dan sitkom tanpa penonton berdasarkan asas-asas pertimbangan seperti berikut:

I. Sektor industri kreatif adalah antara sektor yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

II. Pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula pada 13 Januari lalu telah menjejaskan pendapatan dan ekonomi penggiat industri kreatif berikutan aktiviti penggambaran tidak dibenarkan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP.

III. Pematuhan SOP yang ketat oleh penggiat industri kreatif ketika menjalankan aktiviti penggambaran teleh membuktikan semasa tempoh pelaksanaan PKP-Bersyarat tiada kluster Covid-19 yang wujud berpunca daripada aktiviti penggambaran.

IV. Finas sedia bekerjasama dengan MKN melalui pasukan penguatkuasa daripada Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas bagi memantau dan memastikan pematuhan SOP sekiranya aktiviti penggambaran dibenarkan.

Zakaria berkata, Finas amat optimis kewibawaan kerajaan dan MKN dalam mengimbangi cabaran ekonomi dan krisis kesihatan yang sedang sedang dihadapi.

“Finas amat berharap agar pihak MKN dapat memenuhi permohonan untuk membenarkan aktiviti penggambaran dijalankan di kawasan yang dikuatkuasakan PKP,” katanya.