Skip to main
Logo Malaysiakini

Tidak lagi dalam Padu Citra, 3 persatuan mahu penjelasan Finas

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiga persatuan penerbitan kandungan kreatif bimbang wujud lambakan produksi luar selepas khidmat mereka ditamatkan daripada program Padu Citra pada 1 Februari lalu.

Menyifatkan mereka "dianaktirikan" selepas sekian lama menyumbang, Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) mendesak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) - sebagai badan yang bertanggungjawab terhadap Padu Citra - tampil memberikan penjelasan.

Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau dikenali sebagai Mat London berkata, persatuan sebelum ini menghantar surat untuk mengadakan perbincangan dengan Finas, tetapi mendakwa gagal mendapat sebarang respons.

“Ni perkara yang menyentuh industri tapi kami tak diajak berbincang sedangkan sudah hantar surat dua minggu lalu. Ketiga-tiga persatuan ni adalah pemegang taruh besar sebanyak 85 peratus dalam industri.

“Kami hanya maklum bahawa tiga persatuan ditamatkan daripada Padu Citra pada Jan lalu. Persatuan mahu Finas beri perincian mengenai Padu Citra.

“Kami runsing nanti lambakan produksi atau orang luar dengan mudah bekerja sebagai penggiat seni di negara ni,” katanya dalam sidang media secara maya di pejabat FDAM di Kuala Lumpur, hari ini.

Sidang media tersebut juga dihadiri Presiden Profima, Khir Mohd Noor dan Presiden Seniman, Zed Zaidi. Turut memberi sokongan, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia, Zahrin Aris serta wakil penulis, Anuar Idris.

Ketiga-tiga persatuan terbabit juga meragui kebolehupayaan agensi kerajaan tersebut untuk bertindak sendirian tanpa melalui kerjasama mereka, khususnya dalam soal kebajikan selain kemudahan akses ke atas perolehan maklumat penggiat industri.

“Kawalan akan menjadi agak sukar. Tak mungkin Finas boleh kawal semua anak seni. Mengapa tugas tu tak diserahkan saja pada persatuan? Sekarang pun sudah ada nama-nama tercicir yang tak mohon Surat Perakuan Penggambaran (SPP),” katanya.

Terdahulu, Finas mengumumkan bermula 1 Feb penggiat kandungan penerbitan kreatif tidak perlu lagi menjadi ahli tiga persatuan itu seperti yang disyaratkan dalam SSP.

Finas juga mengumumkan program Padu Citrakan akan diperkukuhkan dengan pelaksanaan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang sedang dijalankan melalui pengemaskinian keahlian baharu serta penamatan keahlian Padu Citra sedia ada.

Langkah itu diambil susulan tiada penambahbaikan dalam program berkenaan sejak 25 tahun lalu.

Jangan salahkan industri nanti

Pada masa sama, Khir mempertikaikan keputusan Finas dengan berkata tiga persatuan itu boleh menjadi pemantau kepada aktiviti penggiat industri dalam kerja penggambaran.

“Kami ada data setiap minggu untuk berapa ramai penggiat industri yang bekerja di lapangan. Kami simpan data penggiat industri untuk yang mula bekerja sejak hari pertama lagi. Kami tahu siapa yang dah terlibat sama ada sejak 25, 30 atau 10 tahun sekalipun.

“Tanpa pengawasan persatuan, kadang-kadang pembancuh air yang datang dari India pun boleh kerja dalam produksi. Hal macam ni banyak berlaku kita dapat kesan.

“Bila produksi bergerak, kita akan tahu siapa pelakon, siapa pengarah. Jangan salahkan industri sekiranya suatu hari terdapat lambakan tenaga kerja dari luar sebab penerbit boleh ambil siapa saja yang tidak dinaungi persatuan,” katanya.

Katanya, tiada sebab untuk Finas membelakangkan mereka dengan tidak mengadakan sebarang perbincangan sebelum membuat keputusan.

“Boleh saja adakan mesyuarat secara maya sekarang. Jangan sampai nanti Finas ingin jalin kerjasama pada masa depan dengan persatuan kami dah tak nak bantu lagi dah.

“Sebab tu saya kata, Finas harus bekerjasama dengan industri,” katanya.

Dia juga berasa hairan mengapa Finas tidak memfokuskan masalah sedang membelenggu penggiat seni yang ketika ini tidak boleh mencari rezeki akibat perintah kawalan pergerakan yang dilaksakanakan hampir di seluruh negara susulan peningkatan Covid-19.

Menyuarakan sentimen yang sama, Zed menggesa Finas merungkai apa yang disifatkannya sebagai konflik yang menghimpit Padu Citra.

Ditanya apakah tindakan persatuan selepas ini, Mat London berkata, pihaknya akan membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi jika masih tiada maklum balas daripada Finas.

“Menteri (Komunikasi dan Multimedia) mungkin dengar sebelah pihak, mereka mungkin tak dengar apa masalah penggiat industri yang sebenar.

“Jika tak boleh juga, perkara ni akan dibawa kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya lagi.