Skip to main
Logo Malaysiakini

Kenapa penggambaran masih tak boleh - pegawai Kit Siang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Setiausaha politik ahli parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan menggesa Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) memperincikan prosedur operasi standard (SOP) agar penggiat seni dapat bekerja semula.

Pegawai Lim Kit Siang itu berkata ramai menyoal mengapa aktiviti anak seni tidak dapat dijalankan seperti aktiviti harian lain.

“Ramai yang mempersoalkan, sekiranya pasar malam dibenarkan untuk beroperasi, mengapa aktiviti penggambaran tidak boleh diteruskan dengan SOP yang ketat?

“Sewaktu aktiviti penggambaran dibenarkan semasa PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) tahun lepas, SOP sudahpun sedia ada dan sekiranya perlu, SOP itu boleh diperketatkan lagi,” katanya.

Dalam kenyataan media hari ini, dia juga menegaskan bahawa penggiat seni seperti penerbit dan kru penggambaran akan terkesan teruk jika tidak dibenarkan menjalankan penggambaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Apabila pihak berwajib tidak mengambil tanggungjawab dalam perkara ini, yang terkesan teruk bukanlah menteri, mahupun pengerusi atau CEO Finas, tetapi penggiat seni dan industri kreatif, penerbit dan kru produksi,” katanya.

Pada 2 Feb, pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid, berkata mereka telah menghantar kertas cadangan SOP penggambaran dalam studio kepada MKN melalui Bahagian Pembangunan Kandungan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Namun, agensi itu sehingga kini masih belum menerima sebarang jawapan daripada MKN.