Skip to main
Logo Malaysiakini

Petisyen desak pecat pengerusi, CEO Finas digerakkan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kemelut yang melanda Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan beberapa persatuan yang dilihat tidak sehaluan dengannya berlanjutan.

Terbaru, sedang beredar di media sosial kempen mengajak orang ramai menyokong petisyen dalam talian bagi mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk memecat Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid.

Seorang lagi yang turut disenaraikan agar dipecat KKMM ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Antara alasan utama petisyen itu dilancarkan adalah, penggiat seni semakin berasa tertekan disebabkan Zakaria dan Ahmad Idham tidak sensitif nasib menimpa industri penerbitan kandungan kreatif ketika ini.

“Dalam situasi pandemik yang melanda Malaysia hari ini, pemain industri kreatif dan filem Malaysia berasa terpinggir oleh Pengerusi dan CEO Finas yang seharusnya memikirkan cara untuk menolong dalam membantu ekonomi kami dan juga negara,” kata kandungan petisyen tersebut.

Dimulakan individu menggunakan gelaran Art Revolt, petisyen Pemain Industri Filem Mahukan Keadilan Dan Mendesak KKMM Memecat CEO dan Pengerusi Finas itu kini mengumpul hampir 3,000 tanda tangan selepas 24 dilancarkan.

Petisyen itu turut ditujukan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menambah rasa terkilan mereka, Zakaria dan Ahmad Idham juga didakwa memperlihatkan "kecetekan akal" apabila membuat kenyataan tidak wajar berkenaan penggiat seni yang kononnya tidak menyumbang kepada ekonomi negara di media sosial mereka.

Pertimbang beri kebenaran semula 

“Justeru, hari ini, kesabaran sudah sampai batasnya dan tiba masanya untuk kami berhenti mengikuti arahan pengerusi atau CEO Finas yang nampaknya tidak memainkan peranan mereka.

“Dengan ini kami mengemukakan petisyen bahawa kami, pemain industri kreatif dan filem Malaysia bersatu mendesak KKMM untuk menyingkirkan Pengerusi dan CEO Finas daripada jawatan mereka,” kata petisyen berkenaan.

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan laporan mengenai desakan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) ekoran langkah terbaru diambil Finas menyingkirkan mereka daripada program Padu Citra. 

Selain itu, nama Finas menjadi semakin ‘panas’ gara-gara rintihan penggiat industri penerbitan kandungan kreatif yang masih tidak dibenarkan menjalani penggambaran ketika kerajaan sedang menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Finas didakwa tidak mengemukakan cadangan prosedur operasi standard seperti yang diminta Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob. Cadangan SOP berkenaan diminta bagi membolehkan kerajaan memberikan pertimbangan membuka sektor itu ketika PKP.

Sementara itu, diminta mengulas petisyen terbabit, Zakaria berkata, dia mengambil maklum berhubung kemarahan penggiat seni yang disuarakan itu.

“Api kemarahan melalui petisyen ni saya tak boleh halang,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Menjelaskan kemelut menghimpit Finas berhubung kebenaran menjalankan penggambaran pula, Zakaria berkata, dia memahami kesukaran perlu didepani penggiat seni yang tidak berupaya menjana pendapatan selain melalui penggambaran.

“Saya faham kemarahan penggiat seni terutama kru produksi. Tanpa penggambaran, mereka hilang pendapatan sejak 13 Jan lalu. Saya sangat prihatin dan simpati pada mereka dan rakyat Malaysia yang senasib, iaitu tiada pendapatan tetap.

“Apa kami terus lakukan ialah membuat tindakan susulan dengan Majlis Keselamatan Negara supaya penggambaran dapat dibenarkan sesegera yang boleh.

“Saya reda dengan polemik ni, namun ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus bekerja kuat demi industri kreatif negara selagi amanah ni saya tanggung,” katanya.

Malaysiakini sudah cuba menghubungi Ahmad Idham, namun CEO Finas itu enggan mengulas kemelut berkenaan.