Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Taat Tuah, helah Jebat dan darurat Melaka

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Menjadi rakyat biasa di negara ini memang selalunya sengsara. Menjalani hidup tanpa gelaran, pangkat dan jawatan di sini akan mudah membuat kita hampa dan kecewa.

Dugaan hidup menjadi rakyat biasa sekarang ini memang boleh mengundang tekanan. Tanpa kemuliaan gelaran dari istana, tanpa ketinggian pangkat politik dan tanpa jawatan besar dalam kerajaan, ia amat menuntut kita untuk benar-benar berjiwa hamba dan berakal sahaya.

Lihat saja bagaimana kerajaan 'pakatan Sheraton' mengurus politik dan ekonomi di tengah konflik Covid-19 yang masih berleluasa ini. Saksikan juga bagaimana anugerah-anugerah darjah kebesaran negara diberikan kepada siapa.

Pada waktu rakyat sangat memerlukan kepimpinan yang ada integriti dan bertanggungjawab, ada wakil rakyat yang lebih gemar sibuk untuk mengemukakan dalil mengenai parti mana yang disokong nabi.

Isu kemurungan dan bunuh diri boleh dijadikan bahan ketawa seorang ustazah yang kini menjadi timbalan menteri. Parti-parti pembangkang pula lebih suka berbalah mengenai siapa paling benar dan siapa lebih layak untuk dijadikan perdana menteri.

Lihat sajalah keletah pemimpin parti-parti Melayu yang saling berselingkuh, berbalah dan merebut pengaruh ketika rakyat bergelut mencari rezeki. Bagi mereka semua itu hanyalah permainan dan strategi politik semata.

Ketika sama kerajaan merangka-rangka cadangan untuk menaikkan denda untuk rakyat yang melanggar SOP. Padahal SOP itu sendiri masih kabur dan mengelirukan ramai.

Yang hilang kerja, yang salah dan dan didenda, tetaplah rakyat biasa yang tiada apa-apa ini juga.

Rakyat tak mengerti apa-apa

Ada sebuah teks bernama Hikayat Hang Tuah yang merakamkan peristiwa buntu, bangang dan bedebah seumpama itu.

“Maka Hang Jebat pun lalu keluar mengamuk di tengah pasar itu. Maka orang Melaka pun beribu-ribu mati dan luka daripada laki-laki dan perempuan. Maka negeri Melaka pun haru-haralah. Maka Hang Jebat pun masuk mengamuk dari suatu kampung kepada suatu kampung, dari suatu lorong kepada suatu lorong, dari suatu tempat kepada suatu tempat itu; banyak mati dan luka; keluar masuk membunuh seperti orang gila. Maka bangkai pun bertimbun-timbun, pada segenap lorong dan segenap kampung dan pintu dan jambatan penuh dengan bangkai.”

Demikianlah bagaimana kira-kira 500 tahun dulu teks hikayat agung itu menggambarkan Melaka yang hancur. Darurat yang berpunca daripada wabak juga, iaitu wabak politik dan virus kemaruk kuasa.

Rupanya Melaka juga pernah mengalami darurat. Habis seluruh negeri kebanjiran dengan darah rakyat. Rakyat biasa yang tidak tahu menahu serta tak mengerti apa-apa persengketaan orang kaya dalam istana menjadi mangsa.

Rakyat biasa bergelimpangan mati sia-sia itu tidak pernah tahu akan hal pakatan politik berkhianat bagi merampas kuasa Laksamana. Rakyat hanyalah mangsa permainan politik para pembesar Melaka.

“Maka hari pun hampir malam. Maka Hang Jebat pun keluar dari dalam negeri. Ia membunuh orang luar negeri seperti sewah menyambar ke sana ke mari. Maka rakyat isi negeri itu pun keluar dari negeri membawa anak bininya.”

Seperti biasa yang menderita mati dan sengsara jadi pelarian ialah rakyat biasa. Namun sebenarnya di manakah segala kecelakaan ini bermula? Siapa punya angkara maka seluruh rakyat Melaka jadi mayat semuanya?

Raja Melaka termakan komplot pakatan jahat di antara Patih Kerma Wijaya dan beberapa pembesar, pegawai dan pengawal istana untuk menyingkirkan Hang Tuah sebagai Laksamana.

Kemudian ada beberapa hal yang berlaku diluar jangka. Hal kontroversi yang melibatkan pertimbangan Raja Melaka itu langsung tidak diduga sesiapa. Termasuklah ahli strategis penilik-penilik politik dalam istana.

Sebagaimana semberononya Raja Melaka menitahkan hukuman mati ke atas Hang Tuah yang kononnya curang, begitulah juga tanpa diduga Raja Melaka melantik Hang Jebat untuk menggantikan Hang Tuah yang telah tiada.

“Maka Hang Jebat pun digelar baginda Paduka Raja. Setelah sudah maka baginda pun berangkat masuk. Maka segala pengawal pun pulang ke rumahnya. Maka Hang Kasturi pun mengadap Bendahara; maka segala hal-ehwalnya Hang Jebat digelar oleh Paduka Raja itu pun semuanya dipersembahkannya.”

Hikayat ini memaklumkan akan betapa kasihnya Raja Melaka kepada Hang Tuah dan Hang Jebat lebih daripada Hang Lekir, Hang Lekiu dan Kasturi. Sebagaimana apa yang diriwayatkannya:

“Maka raja pun terlalu kasih akan Hang Tuah dan Hang Jebat, tetapi dalam budak-budak empat puluh itu Hang Tuahlah yang terlalu karib pada baginda, kerana ia tertua daripada yang banyak lagi bijaksana barang lakunya dan tahunya.”

Memperdaya dengan aura diri

Pelantikan yang dibuat Raja Melaka itu tetap dianggap sebagai punca segala malapetaka. Lantas kerana pertimbangan politik Raja Melaka memilih Hang Jebat menggantikan Hang Tuah walaupun ia sebenarnya aneh malah tidak sepatutnya berlaku.

Raja Melaka amat maklum Hang Jebat adalah yang paling akrab dengan Hang Tuah. Kelicikan dan kilas helah Hang Jebat seharusnya dapat dihidu raja sebaik saja dia dilantik menjadi orang istana apabila dia terang-terang berbicara di depan muka raja:

“Jikalau Duli Yang Dipertuan hendak mengurnia nama akan patik, janganlah Bendahara dan Temenggung disuruh panggil, tuanku, kerana segala pegawai dan petuanan pun ada mengadap. Jika tiada Bendahara dan Temenggung pun, masakan tiada sah Duli yang Dipertuan mengurniakan nama akan patik.”

Demikian Hang Jebat memperdaya raja dengan pesona suara dan wajahnya hinggakan raja tidak lagi seperti raja. Melalui pesona dan aura Hang Jebat mempersenda dan memperbodohkan Raja Melaka semahunya.

Justeru rakyat perlu berhati-hati dengan sosok yang nampak teduh dan takzim ketika ada kemahuannya belum dipenuhi. Jika perlu Hang Jebat juga mungkin rela membaca doa di depan raja.

Hal itu perlu kerana dari satu sisi kedudukannya adalah dalam 'perang politik' dan helah budaya setempat. Namun awas, doa yang takzim atau penampilan yang berjurus tidaklah boleh memadamkan langkah yang membawa derita kepada rakyat.

Hang Jebat sudah membuktikan dan rakyat Melaka sudah menyaksikannya.


HARIS HAUZAH ialah hamba dalam dunia nyata dan menjadi raja dalam tulisan-tulisannya.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.