Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bikin filem bukan hanya tentang cari makan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Pada 19 Feb ini secara rasminya genaplah usia Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) menjadi 40 tahun.

Industri filem Malaysia pula - kalau dikira dari tarikh penubuhan Studio Merdeka Hulu Klang - sudah berusia 61 tahun. Lebih daripada itu, kalau dilihat sejarah filem Melayu - dan dikira dari tarikh pengeluaran filem Melayu di Singapura, Laila Majnun pada 1933 misalnya - usianya kini menjangkau 88 tahun.

Berdasarkan fakta-fakta lain, 'hayat' filem di negara ini sebenarnya sudah mencecah usia sekitar 100 tahun.

Begitulah sejarah panjang bidang perfileman di negara ini.

Dalam tempoh yang panjang itu banyaklah cerita, peristiwa, gambaran baik buruk, kelemahan dan kebaikan telah dilalui industri ini. Dan cerita-cerita baik buruk itu nampaknya masih terus berpanjangan hingga ke hari ini.

Sepatutnya dengan pengalaman yang panjang itu sewajarnya kita telah menjadi cukup matang, dan pandai berkira-kira untuk berada di hadapan.

Beberapa hari ini ramai juga yang bertanya. Ada wartawan, orang industri, orang universiti, orang besar politik dan orang sebelah rumah bertanya tentang cerita-cerita negatif yang mereka dengar, khususnya melibatkan agensi pembangunan dan badan regulatori industri, iaitu Finas serta persatuan berkaitan.

Saya tak jawab apa-apa kerana saya tidak ada maklumat lengkap tentang urusan Finas dan permasalahan yang dibangkitkan persatuan-persatuan.

Perlukan sedikit saja lagi

Saya hanya katakan cerita berkaitan orang filem memang cepat jadi panas kerana bidang itu memang popular yang menjadi perhatian ramai.

Di sebalik semua itu, sebagai guru di universiti dan sebagai pengamal industri yang terlibat secara langsung dalam pelbagai kegiatan industri, saya berpendapat, idealisme dan harapan pada industri ini - termasuk bagaimana sewajarnya kita menggembleng sumber, kelebihan dan kekurangan - ialah untuk menjadikan industri ini berjaya dan dipandang tinggi, bukan sahaja oleh masyarakat Malaysia, tetapi juga khalayak filem dunia.

Dengan apa yang sedia ada, kita barangkali perlu melakukan sedikit saja lagi iaitu berusaha secara bersama membina model baru sinema dunia mengikut falsafah pemikiran kita sebagai bangsa besar, yang boleh dicontohi orang lain.

Mungkin sama sebagaimana kita mahu memajukan industri automobil, petroleum, minyak sawit dan lain-lain.

Untuk itu saya percaya satu cara menjayakannya ialah dengan melakukan perubahan. Perubahan - mahu tidak mahu - tetap akan berlaku dan perlu dilakukan.

Sebabnya, masa sentiasa beredar. Apabila masa beredar perubahan pasti terjadi.

Sepanjang 100 tahun yang lalu banyak perubahan berlaku dalam bidang perfileman. Hari ini bukan saja teknologi perfileman telah berubah, peranan dan jangkauan filem yang tercerna bersama teknologi digital juga bertukar sehingga merentasi sempadan budaya dan geografi negara.

Kita - sama ada di pihak kerajaan atau pengamal dan pemegang taruh lain - perlu berubah menjadi golongan yang berkeupayaan mendukung kelangsungan dalam era ini. Era ini adalah era kita. Kita bertanggungjawab terhadapnya.

Menoleh ke belakang, memandang ke hadapan dan berdiri dengan kukuh adalah isyarat penting untuk menjayakan kelangsungan dukungan tersebut.

Untuk itu, satu-satunya modal utama yang diperlukan ialah ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan, cita-cita dan komitmen kita yang berterusan, era kita akan menjadi penyambung masa hadapan yang lebih cemerlang, walau siapa pun kita.


PROF DR MAHADI J MURAT ialah karyawan filem dan profesor pengajian komunikasi dan teknologi di International University of Malaya-Wales (IUMW).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.