Skip to main
Logo Malaysiakini

Shuib, Siti Sarah dikompaun kerana langgar SOP

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pasangan selebriti tanah air, Siti Sarah Raisuddin dan suaminya Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Mohamad, masing-masing dikenakan denda RM1,000 selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, selebriti dan juga usahawan itu dikompaun kerana makan di meja melebihi dua orang serta tiada penjarakan fizikal di sebuah restoran.

"Turut dikenakan tindakan ketika rondaan pasukan Task Force Op Covid-19 Balai Polis Kuala Lipis kira-kira jam 9 malam itu ialah pemilik restoran terbabit.

"Kompaun dikeluarkan di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya seperti dipetik portal Sinar Harian.

Tambahnya, dua lagi pelanggan yang turut duduk semeja bersama pasangan tersbeut turut dikompaun.

Bermula 10 Februari, kerajaan telah menetapkan, hanya dua individu semeja dibenarkan untuk makan di kedai makan dan restoran

Sementara itu, Sarah yang juga seorang penyanyi tampil memohon maaf.

Jelasnya, kejadian itu dianggap satu pengajaran buat dirinya dan suami.

"Kami singgah makan di restoran di tepi jalan selepas selesai menguruskan banyak perkara.

"Kami mohon maaf. Ini adalah pengajaran untuk kami dan harap menjadi pengajaran untuk orang lain agar sentiasa patuh SOP.

"Apa yang penting, kami jadikan ia sebagai pengajaran dan sama-sama kita ikut semua saranan kerajaan okay?" katanya seperti dipetik portal Harian Metro.