Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Bersatulah wahai 'anjing-anjing yang tersepit'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Terdapat satu pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran akhir-akhir ini: Mengapakah para karyawan di negara ini sering kali diperlekeh dan diperlecehkan?

Soalan ini harus dipertanyakan tatkala buat kesekian kalinya nama Finas kembali jadi perhatian banyak pihak.

Namun sebelum pertanyaan itu beroleh jawapan, kita perlu menyoal lagi: Apakah sanggup terlebih dahulu para karyawan kita hari ini mengakui bahawa mereka adalah 'anjing-anjing tersepit' yang selalu merintih meminta untuk diselamatkan?

Sayugia diingatkan tulisan ini adalah sebuah penegasan bahawa agensi kesenian yang diinstitusikan menjadi Finas serta puluhan persatuan perfileman hanyalah suatu gerakan pecah dan perintah. Ia malah melahirkan kelompok megalomaniak yang kerjanya hanya memburu kepentingan.

Ada banyak sebab mengapa para karyawan (pekerja filem) berasa marah, kecewa, putus harap, sangsi, malah benci dengan perbadanan yang dipanggil Finas.

Pada awal bulan ini misalnya, wujud desakan agar pengerusi dan ketua pegawai eksekutif badan itu dipecat. Pun begitu perkembangan demikian bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Bagi orang yang menghambakan diri sebagai pekerja dalam industri filem negara ini, hal sedemikian sudah semacam ketulahan. Suatu sumpahan yang tidak berpenghujung dan tiada tanda-tanda ada penamatnya.

Selain Finas, persatuan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan dalam industri perfileman negara ini menjadikan jumlahnya mungkin mencecah puluhan. Namun apa yang orang-orang seni negara ini dapat banggakan hanyalah pada binaan-binaan bangunan.

Kena fikir habis-habis

Orang seni mungkin ada Istana Budaya, Balai Seni Lukis Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka. Atau barangkali Finas yang terletak di sebelah Zoo Negara sana. Akan tetapi seni, filem dan bahasa kita tetap juga tidak ke mana-mana.

Para seniman dan karyawan tetap seperti orang filem yang terpaksa memperjuangkan nasib diri secara sendiri-sendiri.

Sememangnya akan ada rasa rimas yang bisa membuat seluruh badan menjadi kebas. Nadi serasa berdenyut perlahan, nafas seperti tidak cukup oksigen, kadang-kadang sampai jadi lemas. Demikian yang dirasa tatkala kita melafazkan nama Finas.

Meminjam kata Mohd Noor Kassim yang pernah aku petik masuk dalam tulisan di sini tahun lalu: “Di Malaysia kita tidak menghargai pekerja di belakang tabir.”

Kata dia lagi: “Keadaan pekerja filem di Malaysia sangat daif. Siapa yang berminat menjadi kru di Malaysia ini perlu fikir habis-habis. Ia bukan lagi tahap pelacur, ia mungkin sudah sampai ke tahap sampah. Walaupun sebenarnya mereka ini ialah tulang belakang tapi tiada penghargaan diberikan.”

Apa yang disebut Mohd Noor itu mungkin sesekali disorot masuk ke perhatian masyarakat. Boleh jadi sekali dua akan ada yang menyalak menyuarakan hak-hak mereka yang telah puluhan tahun tersangkak.

Mohd Noor Kassim

Sejak Finas ditubuhkan 40 tahun lalu, tidak ada banyak perkara besar yang benar-benar dapat pekerja filem banggakan. Malah persatuan-persatuan perfileman yang berjumlah puluhan itu pun tidak segagah seperti yang mereka tempikkan.

Hal itu elok disandarkan pada ucapan perbahasan ahli parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid yang dia bangkitkan di Parlimen pada 2018 berbunyi: “Saya terpaksa berbicara. Jadi saya mohon menteri mendengar dengan teliti tangisan seniman di dalam hak intelek yang selama ini berdasarkan kepada sedikit sejarah, tapi saya kemuka dalam bentuk soalan. Berdasarkan daripada sejarah seniman agung Tan Sri P Ramlee meninggal dunia dengan tidak meninggalkan sebarang (hak) harta intelek, kesemua karya beliau menjadi hakmilik Shaw Brothers dan beberapa penerbit besar ketika itu.”

“Melihat situasi industri seni negara ketika ini perkara yang sama berlaku apabila kesemua hak cipta intelek diambil sepenuhnya oleh stesen tivi termasuk stesen tivi kerajaan RTM. Berlakon bertahun-tahun tak dapat royalti, harga pembelian drama tidak pernah naik sudah 30 tahun. Macam mana nak terbit produk yang berkualiti?

"Dan penggiat seni penyanyi ada royalti, pelakon tak ada. Jadi mohon kerajaan menyediakan dasar baru agar tidak mengulangi perkara pengkarya seni hidup papa kedana melarat tidak ada langsung masa depan mereka.”

Jelas apa yang dapat kita tangkap daripada isi permasalahan orang industri filem ini bukanlah soal tidak diberikan tempat untuk berkarya. Akan tetapi ia adalah isu perundangan dan hal-hal dasar yang dapat menjadikan perusahaan ini sebagai suatu industri buat negara dan kerjaya bagi para karyawan.

Hal inilah yang tidak terpandang oleh Finas selama 40 tahun ini.

Justeru kita harus tahu bagaimana kelompok megalomaniak yang ada memecah-belahkan seni. Mereka bertindak sebagaimana penjajah ketika menjarah segala keuntungan dari seni demi kepentingan ego sendiri.

Bangga jadi pacat, lintah

Seorang Mr Cinderella misalnya tidak akan dapat membawa apa-apa harapan dan perubahan. Pemikiran yang terbatas setelah mendapat kedudukan sementara mungkin menjadikan seorang Mr Cinderella berasa dirinya bangsawan hakiki.

Sekonyong-konyong mengubah seorang mekanik di bengkel Spanar Jaya yang mengidolakan Steve Jobs sebagai korporat agung juga tidak akan banyak membantu jika aspek kebajikan tidak diendahkan.

Seorang megalomaniak memang tidak akan nampak betapa besarnya perbezaan seorang ketua syarikat persendirian yang dia gagaskan dengan seorang ketua agensi pembangunan filem milik kerajaan.

Ingatlah, Finas akan kekal wujud sebagai Finas yang mengecewakan jika tiada perubahan dan pembaharuan dibuat segera. Finas bersama-sama dengan puluhan persatuan pengaku pejuang industri itu akan terus melahirkan lebih ramai penggiat yang tidak dapat diharapkan.

Mereka itu mungkin kelompok yang tidak punya rasa segan atau bersalah menyamakan suara karyawan dengan salakan anjing di tepi jalan.

Seorang yang begitu akan kekal bangga menjadi lintah dan pacat - melekat kuat pada kedudukan dan jawatan sambil menikmati kesedapan darah dan keringat kesenian atas nama agensi dan industri perfileman.

Mereka memang sukar ditegur apa lagi untuk dipesan dengan kebenaran.

Ingatlah, 'sumpahan' ini hanya dapat dihentikan dengan hanya satu pilihan. Iaitu dengan nekad dan keberanian, orang seni mengakui mereka adalah 'anjing-anjing tersepit' yang tak lagi perlu meratap minta untuk diselamatkan. Jadilah anjing-anjing yang sepakat menyatu, menerkam dan menyerang kejahatan.

Lupakan Finas dan tinggalkan puluhan persatuan yang acah-acah maju membawa perjuangan. Hanya kesatuan dan keberanian mengaku kita 'anjing' yang menyalakkan kebenaran saja dapat menewasakan megalomaniak.


HARIS HAUZAH ialah bekas ahli jemaah tabligh yang kini tinggal dalam hutan khayalan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.