Skip to main
Logo Malaysiakini

Hot FM tamatkan kontrak Shuk Sahar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Krisis rumah tangga dan dibayangi isu curang membawa Shuk Sahar ditunjukkan 'pintu keluar' oleh pengurusan stesen radio Hot FM selepas bekas peserta Raja Lawak itu didapati melanggar kontrak perkhidmatannya.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Audiens & Pemasaran Ripple, Anida Mohd Tahrim, berkata kontrak perkhidmatan Shuk sebagai penyampai radio di Hot FM ditamatkan berkuat kuasa hari ini.

“Ia dibuat selepas siasatan dalaman secara terperinci selesai dan kami mendapati berlaku pelanggaran terma perjanjian oleh Shuk seperti yang dipersetujui dalam kontrak perkhidmatannya sebagai penyampai radio Hot FM.

“Shuk juga telah dimaklumkan mengenai hal ini,” katanya.

Terdahulu, kontrak perkhidmatan Shuk, 34, sebagai penyampai radio Hot FM digantung untuk memberi ruang kepada pihak pengurusan melakukan siasatan dalaman secara terperinci berhubung isu yang tular di media sosial membabitkan rumah tangganya. 

Pelawak dan pelakon itu didakwa berlaku curang terhadap isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah dengan wanita lain.

Januari lalu, Rossalenna memuat naik beberapa perkongsian mendedahkan situasi rumah tangga dialami di platform media sosialnya.

Bagaimanapun, pada 8 Feb lalu, Shuk sudah berbaik dan berjaya memujuk semula isterinya selepas membawa kejutan rombongan 'meminang' ke rumah wanita terbabit.

Mereka juga sudah kembali hidup sebumbung di Puncak Alam, Selangor.

Shuk dan Rossalennah mendirikan rumah tangga pada 2015. Hasil perkongsian hidup itu pasangan berkenaan dikurniakan dua cahaya mata perempuan, Nur Qurratu Ain dan Nur Assyifatu Aimi.

Pada 15 Feb lalu, Hot FM mengumumkan, Mark Adam sebagai penyampai baru segmen Geng Pagi Hot (GPH) bagi menggantikan Shuk.

Penyanyi dan pelakon itu bergandingan bersama seorang lagi penyampai iaitu Fizie bagi memeriahkan GPH selepas ketiadaan Shuib pada hujung Jan lalu.

Anida berkata, pemilihan Mark Adam sebagai penyampai GPH dapat memberikan nafas baru kepada stesen radio berkenaan.

“Selepas Shuib berundur dari Hot FM, kami sudah merancang untuk memberi facelift pembaharuan) kepada GPH dengan memasukkan Mark Adam.

“Reputasi Mark sebagai penghibur yang versatil memberikan nafas segar untuk segmen GPH.

“Harapan kami agar pendengar akan terus menyokong Hot FM dan kami menjanjikan pengisian yang terbaik buat semua khususnya pendengar setia Hot FM,” katanya.