Skip to main
Logo Malaysiakini

Afdlin bimbang orang ramai makin takut bersuara

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelakon dan pengarah Afdlin Shauki menyuarakan kebimbangan rakyat semakin bimbang bersuara, susulan Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini bersalah dalam kes hina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya.

Afdlin berkata, keputusan itu juga mungkin akan menghalang interaksi media bersama orang awam selepas ini.

"Ini akan halang orang serta media untuk memperkatakan sesuatu.

"Laporan (selepas ini) mungkin perlu tutup ruangan komen, tetapi kita tahu media dan media sosial adalah mengenai interaksi.

"Kita nak tahu pendapat orang setuju atau tidak dengan (apa yang diperkatakan) kita. Jadi ia akan jadi jurang yang pincangkan media sosial dan juga kebebasan di internet," katanya dalam sidang media yang dimuat naik saluran Malaysian News TV semalam.

Difahamkan sidang media itu dibuat selepas program sumbangan 1,000 ekor ayam anjuran Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama beberapa pertubuhan kebajikan termasuk Yayasan Afdlin Shauki, di 14 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pada 19 Feb lalu, Mahkamah Persekutuan memutuskan Malaysiakini bersalah kerana menghina mahkamah menerusi komen yang dibuat pembacanya dan mengenakan denda sebanyak RM500,000 kepada portal berkenaan.

Ia berhubung komen dalam artikel bertarikh 9 Jun bertajuk “CJ orders all courts to be fully operational from July 1.”

Peguam Negara, Idris Harun mengemukakan permohonan menghina mahkamah terhadap ketua editor Malaysiakini, Steven Gan pada 15 Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, kutipan sumbangan daripada orang ramai berjaya mengumpul lebih RM500,000 dalam masa kurang lima jam bagi membayar denda berkenaan.

Mengulas lanjut, Afdlin berkata keputusan mahkamah ke atas Malaysiakini seakan memberi ruang kepada pihak tertentun untuk memanipulasi media.

"Ini menunjukkan selepas ini bila kita bersuara, orang punya komen akan menyebabkan kita (portal) disaman.

“Ini buka ruang manipulasi dari pihak yang tahu kalau dia bercakap, kita akan disaman,” katanya lagi.