FDAM, Profima, Seniman tak bantah Padu Citra 2.0 tapi...
Tiga persatuan setakat ini tampil menjelaskan bahawa mereka tidak pernah membantah pelaksanaan Padu Citra 2.0 di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sebaliknya berkata, apa disuarakan sebelum ini adalah kerana mereka komited ingin melihat program itu ditambah baik dari sudut polisi atau dasar dan bukan sebaliknya.
Presiden FDAM, Dr Ahmad Ibrahim atau dikenali sebagai Mat London berkata, ketika ini pihaknya masih lagi samar-samar dengan perancangan Finas untuk menyelaraskan program tersebut yang dikhuatiri tidak kukuh serta dinamik.
“Kami tak bantah Padu Citra 2.0 tapi dasar dikeluarkan amat menyakitkan hati. Hal ini kerana kami tak nampak kelemahan pada Padu Citra yang asal. Kami amat menyokong sekiranya Finas berhasrat untuk memperkukuh dan memperbaiki Padu Citra 2.0.
“Jika ia beri kebaikan sangat konstruktif untuk masa depan anak seni kami amat bersetuju. Namun kami tertanya-tanya di mana kelemahan Padu Citra yang ada hingga ia perlu diubah,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam satu pertemuan diadakan antara Mat London, Presiden Profima Khir Mohd Noor dan Presiden Seniman Zed Zaidi dengan Pengerusi Finas, Zakaria Abdul Hamid di Finas, Hulu Kelang.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Finas, Norman Abdul Halim dan Setiausaha Kehormat FDAM, Zahrin Aris.
Terdahulu, portal ini melaporkan ketiga-tiga persatuan tersebut mengaku berasa dianaktirikan selepas Finas mengumumkan khidmat mereka ditamatkan daripada program Padu Citra 1.0 berkuatkuasa pada 1 Februari lalu.
Antara syarat diputuskan, ia tidak lagi mewajibkan pelakon, pekerja dan pengarah filem menyertai mana-mana persatuan yang diiktiraf Finas seperti dalam program Padu Citra sebelum ini.
Menurut Mat London, mesyuarat itu diadakan bertujuan memberi informasi komprehensif berhubung pelaksanaan Padu Citra 2.0 membabitkan program Akreditasi serta Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif.
Katanya, timbul kegusaran berhubung pelaksanaan program tersebut terutama apabila ia antaranya mensyaratkan persatuan untuk mendaftar kembali dengan Finas.
“Bermaksud, kena keluar dulu, daftar semula dengan Finas baru nak buat Akreditasi dan Pentauliahan Dalam Industri Kandungan Kreatif, kami rasa tak sesuai, tak kena cara tu,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyambut baik saranan Zakaria untuk mengemukakan memorandum berhubung cadangan penambahbaikan Padu Citra 2.0 dan kesan yang akan timbul jika syarat baharu diteruskan.
“Cadangan akan dikemukakan selepas mengambil kira aspek perundangan dan pandangan daripada beberapa pihak yang lain. Kami jangkakan dapat mengemukakan memorandum tersebut kepada Finas kira-kira dua minggu lagi,” katanya.
Khir pula berkata, pihaknya ingin Finas mengkaji semula keputusan berhubung Padu Citra 2.0 membabitkan program Akreditasi dan Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif.
“Bagi pihak saya, kami minta tangguhkan dulu. Sebab ini adalah mesyuarat pertama persatuan dipanggil dalam tempoh 10 bulan ini selepas tercetus kemelut.
“Sekiranya dilaksanakan, ke mana hala tuju program tersebut. Siapa badan dan ahli panel yang akan terlibat?
“Akreditasi dan pentauliahan itu bertujuan memberitahu pencapaian gred seseorang, tapi lepas tu apa? Adakah ia dapat mengubah situasi industri yang tiada tangga gaji ketika ini? Atau adakah ia sama seperti paras gaji diminta 15 tahun lalu?
“Sekiranya nak laksanakan perkara tertunggak seperti dinyatakan, baguslah, tapi jika setakat memberi pengiktirafan namun tiada ganjaran, saya lihat ia tidak membawa manfaat berguna,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai