Isu Padu Citra 2.0: Tak ada konflik tak boleh selesai, kata Zakaria
Tiada konflik yang tiada penyelesaian, kata Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Zakaria Abdul Hamid, selepas didatangi tiga persatuan bagi membincangkan isu Padu Citra 2.0 kelmarin.
Bagi Zakaria, isu disuarakan Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) berkaitan program tersebut sebenarnya boleh diselesaikan namun perlukan sedikit masa.
“Cuma kaedah dan ambil masa mengikut kerumitannya. Isu Padu Citra 2.0 ni bukan isu besar. Saya yakin Finas mudah menanganinya, Insya-Allah.
“Ia menjadi polemik kerana Finas belum membentangkan perincian kepada persatuan,” katanya kepada Malaysiakini.
Satu mesyuarat diadakan pada 23 Feb lalu bagi membincangkan mekanisme Padu Citra 2.0 diadakan antara Finas, FDAM, Profima dan Seniman selepas ketiga-tiga persatuan menyerahkan surat kepada Zakaria.
Mesyuarat diadakan susulan kebimbangan persatuan terbabit terhadap pelaksanaan Padu Citra 2.0 membabitkan mekanisme program Akreditasi serta Pentauliahan Industri Kandungan Kreatif yang antaranya boleh menyebabkan lambakan produksi luar.
Pertemuan diadakan di Finas Hulu Kelang itu dihadiri Presiden FDAM, Ahmad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Mat London, Presiden Profima Khir Mohd Noor dan Presiden Seniman Zed Zaidi.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Finas, Norman Abdul Halim dan Setiausaha Kehormat FDAM, Zahrin Aris.
Memang terbuka terima cadangan
Khir juga memuji tindakan pantas Finas menjawab surat yang diberikan kurang dari 24 jam selepas ia diserahkan kepada Zakaria pada 14 Feb lalu.
FDAM, Profima dan Seniman sebelum itu meminta penjelasan mengapa pembabitan mereka dalam program Padu Citra asal ditamatkan berkuat kuasa pada 1 Feb lalu.
Zakaria menegaskan pertemuan tersebut bukan sekadar untuk menyedapkan hati sesiapa sebaliknya mahu mendengar keluhan penggiat seni dan menjernihkan kemelut yang timbul berkaitan Padu Citra 2.0.
Kata Zakaria, sekiranya keputusan berhubung program tersebut dicapai nanti dan persatuan terbabit masih tidak berpuas hati, dia tidak menghalang jika ada yang mahu mengambil tindakan lanjut.
“Saya bukan nak beretorik, tapi memang terbuka menerima pandangan dan cadangan.
"Sebagai persatuan berdaftar, mereka boleh bertindak dan kami tak boleh menghalang. Persatuan ada peranan mereka, kami juga ada peranan yang telah diaktakan,” katanya.
Zakaria berkata, melalui perbincangan baru-baru ini persatuan berkenaan bersetuju mengemukakan memorandum bagi menggariskan cadangan dan pandangan kepada Finas untuk diperhalusi dalam usaha memperkasa Padu Citra 2.0.
“Sebarang cadangan eloklah dikemukakan secara hitam putih, secara rasmi. Agak sukar untuk kami teliti cadangan mereka sekiranya hanya disebut dalam wawancara dengan media atau ditulis dalam media sosial kerana isinya tidak rasmi,” katanya.
Ditanya adakah mesyuarat tempoh hari merupakan pertemuan pertama berkaitan Padu Citra 2.0 di antara Finas dan persatuan berkaitan, Zakaria menjawab: “Ya.”
“Ia adalah mesyuarat pertama. Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ahmad Idham (Ahmad Nadzri) ambil masa untuk adakan sesuatu mesyuarat kerana dia sedang menyiapkan draft Padu Citra 2.0 untuk dibentangkan pada pemegang taruh awal bulan depan.
“Mereka utus surat kepada saya. Selepas ni saya akan menerima tujuh lagi kunjungan persatuan lain yang sama ingin memberi maklum balas berhubung Padu Citra 2.0.
“Saya akan kumpulkan beberapa permohonan dan bincang dalam mesyuarat,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai