Skip to main
Logo Malaysiakini

Mendiang Chadwick Boseman dinobat Pelakon Terbaik filem di Golden Globe

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mendiang aktor Chadwick Boseman dinobat Aktor Terbaik Filem dalam Anugerah Golden Globe 2021 ke -78 melalui Ma Rainey’s Black Bottom, yang merupakan filem terakhirnya.

Isterinya, Taylor Simone Ledward menerima piala Anugerah Golden Globe yang pertama dan terakhir bagi pihak Boseman itu dalam satu suasana penuh emosi pada majlis yang diadakan di California, AS hari ini.

“Dia akan berterima kasih kepada Tuhan. Dia akan berterima kasih kepada orang tuanya. Dia akan berterima kasih kepada moyang-moyangnya atas bimbingan dan pengorbanan mereka.

“Dia akan menyatakan sesuatu yang indah, sesuatu yang memberi inspirasi, sesuatu yang akan memperkuat suara kecil dalam diri kita yang memberitahu kamu bahawa kamu boleh terus maju,” katanya dengan linangan air mata.

Bintang filem Black Panther itu mengalahkan calon lain seperti Riz Ahmed yang menjayakan Sound of Metal, Anthony Hopkins (The Father), Gary Oldman (Mank) dan Tahar Rahim (The Mauritanian).

Kemenangan Boseman itu menerima tepukan daripada semua calon lain. Tayor kemudian mengucapkan bahawa mendiang akan berterima kasih kepada seluruh  pelakon dan pihak yang terlibat dalam filem tersebut.

“Saya tidak mempunyai kata-katanya, tapi saya tahu kita harus menggunakan saat seperti ini untuk meraikan orang yang kita kasihi,” katanya.

Film Ma Rainey's Black Bottom diarah oleh George C Wolfe dan ditulis oleh Ruben Santiago-Hudson.

Filem itu adalah adaptasi daripada pementasan menggunakan judul sama yang  ditulis August Wilson.

Ia berkisahkan tentang penyanyi Ma Rainey, yang terkenal dengan julukan 'The Mother of the Blues'.

Kisah bermula ketika Ma Rainey (Viola Davis) menjadi pemuzik terkenal di Amerika Selatan pada pertengahan 1920-an. Dia kemudian ke Chicago, Amerika Utara untuk merakam album di bawah naungan Paramount Records.

Di sana, band pengiringnya sudah menanti. Mereka adalah Levee Green (Boseman), Toledo (Glynn Turman), Cutler (Colman Domingo), dan Slow Drag (Michael Potts).

Green adalah pemain trompet berbakat yang memiliki segudang mimpi untuk membuat muzik dan membentuk kumpulannya sendiri.

Dengan semangat dan cita-cita tinggi, Green sering tidak sefahaman dengan Ma Raineymengenai arah muzik mereka. Dia ingin menonjolkan kemampuannya manakala Ma Rainey mahu mempertahankan gaya muziknya.

Boseman meninggal dunia pada pada Ogos tahun lalu ketika usianya mencecah 43 tahun akibat menderita barah usus tahap empat.

Selain itu, Anugerah Golden Globe juga antaranya mengiktiraf filem Nomadland dan Borat Subsequent Moviefilm sebagai pemenang Filem Terbaik Drama dan Filem Terbaik Muzikal atau Komedi.

Sacha Baron Cohen dan Rosamund Pike pula masing-masing diangkat sebagai pemenang Lakonan Terbaik Aktor dan Aktres dalam kategori Muzikal atau Komedi melalui Borat Subsequent Moviefilm dan I Care A Lot.

Selain itu, Nomadland turut menggondol anugerah Pengarah Terbaik Drama yang dimenangi oleh Chloe Zhao.

Bagi Siri Televisyen Terbaik Drama, ia dimenangi Crown, Animasi Filem Terbaik Cetera; Soul manakala Film Terbaik Bahasa Asing; Minari.