Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Melawan politik bangkai dengan 'kerja tuhan'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Ada sesuatu pada kemerdekaan yang tidak pernah dapat diajarkan, iaitu rasa bebas daripada segala ketakutan.

Sering kita mendengarkan kata-kata angkuh demokrasi yang kononnya bisa memerdekakan negara dan membebaskan rakyat. Walhal tidaklah sesukar mana bagi lima enam orang pemimpin jahat meruntuhkan kata-kata angkuh itu dengan hanya satu langkah di Sheraton yang terang-terang mengkhianati kedaulatan negara dan kepercayaan rakyat.

Mendiamkan pengkhianatan sebetulnya adalah kerelaan kepada lebih banyak kejahatan. Ia ibarat suatu penyerahan diri kepada iblis untuk melahirkan lebih ramai pemimpin berhati syaitan bagi melakukan lebih banyak kebejatan.

Lihat saja bagaimana proklamasi darurat digunakan sebagai alat keuntungan politik yang sesedapnya diletak atas nama membendung pandemik.

Kemeluatan menyaksikan pemain politik ini tergedik-gedik mempersenda kedaulatan dan mempermainkan sistem pentadbiran dengan mendustakan kepercayaan kini sampai ke tahap paling meloyakan.

Sains dan data pun mahu disolek dengan scheme of things yang bukan-bukan.

Tangis dan tadahan tangan depan tuhan dalam majlis setahun jadi kerajaan sepatutnya menjadikan politikus tua terpaling berisiko tinggi ini tak takut mati. Masakan lepas umum pembukaan panggung wayang dan sekolah, parlimen mahu terus ditutup tak bersidang?

Bukan setakat politikus murahan saja terjebak kerana mahukan habuan. Yang berjubah dan berserban pun turut melompat masuk dalam barisan pimpinan yang dipertikaikan asal beroleh jawatan.

Rasa bebas akan hilang

Licik kebusukkan politik bangkai sebegini tak lagi akan dapat tutup atau disembunyikan. Pedulilah menteri undang-undangkah, menteri agamakah malah duta khas ke wilayah mana sekali pun.

Cuma sayangnya pada tahap sebusuk ini, seni kita tetap kekal diam di rumah. Seni kita hanya mampu melihat, membiar dan melupakan tanpa ada yang mahu cuba mencabar fikiran rakyat.

Aksi-aksi kurang ajar seperti lompat-melompat parti atau timbalan menteri berada di negara makmur biri-biri lebih daripada 50 hari adalah antara hidangan ruji yang terpaksa rakyat telan.

Ia 'dinikmati' sambil sesekali melihat kerenah orang kayangan yang selamba tidak mengendahkan SOP dan kalis daripada sebarang tindakan ketika rakyat pula terus diasak ke sudut dengan pelbagai hukuman.

Harus diingat, kejahatan dan kesetanan politik yang didiamkan akan dalam senyap dan perlahan-lahan memincangkan masyarakat. Sampai suatu hari nanti segala rasa kebebasan itu hilang akibat daripada terlalu lama dipendamkan. Pada ketika itu nanti yang tinggal hanyalah ketakutan.

Malek Bennabi

Malek Bennabi melalui kitabnya Syurut al Nahdah (Prasyarat Kebangkitan) ada menjelaskan hal berkenaan. Kata Bennabi budaya - dalam konteks ini seni - memberikan penekanan terhadap empat aspek kemanusiaan iaitu sifat, akhlak, tingkah laku dan nilai.

Oleh yang demikian budaya - iaitu apa jua kesenian seperti filem misalnya - merupakan perisai kepada peperangan yang sedang kita hadapi sekarang, iaitu perang kemanusiaan.

Hari ini, pada waktu integriti politik diperkosa tanpa ada yang rasa malu dan tahu lagi cara untuk membetulkan, tiba masanya segala hukum dikembalikan ke tangan rakyat.

Kini kelihatannya seperti tidak ada seorang pun penguasa atau mana-mana pembesar negara mampu menyucikan integriti politik negara ini kembali kepada kesopanan dan kesusilaan.

Suara dalam filem

Justeru budaya - yakni seni yang disebutkan Bennabi - perlu segera melancarkan 'peperangan'.

Perang kemanusiaan yang dilancarkan oleh sejumlah ahli politik itu harus segera dilawan dengan membangkitkan kesedaran rakyat.

Kerana itulah sesebuah filem yang dihasilkan seseorang pengkarya harus kembali kepada jati diri dan semangat kita yang lama. Iaitu semangat pada zaman-zaman penjajahan dan jati diri era kemelesetan serta penindasan.

Dari situ idea filem dapat diperlihatkan tentang bagaimana segala kejahatan diperlakukan; bagaimana rupa dan karektor sekelian koruptor melakukan kebobrokan. Segalanya dizahirkan dengan suatu sikap sosial yang tidak hanya membentangkan persoalan dan pergelutan, tapi menawarkan jalan-jalan penyelesaian tanpa ada sedikitpun rasa ketakutan.

Nah, tentulah ketakutan dan keberanian tidak akan dapat diajar, dipelajari atau dikecap melalui filem-filem seperti Hantu Bonceng 2.0, Selamat Hari Tak Jadi atau 10 Tips Tipu Bini.

Filem Abang arahan Rahim Razali 

Hal itu kerana ia hanya ada pada seni-seni yang mengangkat sifat, akhlak, tingkah laku dan nilai yang jelas seperti yang ada dalam filem seperti Hang Jebat, Antara Dua Darjat, Abang, Kami, Tsu Feh - Sofiah, Jogho atau Kembara Seniman Jalanan.

Seni-seni dalam filem seperti inilah yang dapat mendengungkan kepala kita dengan jeritan-jeritan yang pernah ditempikkan dalam banyak demonstrasi politik dan perjuangan kelas.

Suara-suara dalam filem sebeginilah yang akan memperlihatkan kepada rakyat betapa seni ada kepentingan lebih daripada sekadar persoalan upah tempat seniman cari makan. 

Suara dalam filem adalah wahana masyarakat dapat mengenal berani untuk dimaknakan dalam penghidupan.

Arwah P Ramlee pernah berkata: “Karya seni adalah satu daripada kerja tuhan. Oleh itu, buatlah bersungguh-sungguh dengan kejujuran.”

Kejahatan dan ketidakadilan yang berpunca daripada pengkhianatan harus dilawan atas nama tuhan. Peperangan 'politik bangkai' ini harus diperangi dengan kesenian. Kerana seandainya ia tidak dilakukan, masyarakat akan sepenuhnya pincang dibinasakan oleh ketakutan yang menjadi ragi dalam jiwa kita.


HARIS HAUZAH ialah seorang peniaga tulisan yang berjaja dalam kedai makan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.